
SIASATAN TERPERINCI BERHUBUNG KEROSAKAN PAM AIR PPR KRUBONG
SUNGAI UDANG 21 Mei – Kerajaan Negeri mengarahkan Lembaga Perumahan Melaka (LPM) menjalankan siasatan terperinci berhubung dakwaan berlakunya kerosakan pada sistem pam air di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Krubong.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, siasatan itu perlu bagi memastikan punca dan bagaimana kerosakan itu berlaku sehingga menyebabkan kesukaran semasa berlaku kecemasan.
“Saya ada menerima maklumat mengenai dakwaan ini daripada penduduk dan susulan itu saya sudah meminta LPM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta pihak berkuasa berkaitan untuk melakukan ‘postmoterm’ dengan menjalankan siasatan terperinci.
“Kita mahu tahu mengapa ia tidak berfungsi. Kerosakan berlaku mesti ada sebab dan punca justeru itu siasatan perlu dijalankan seterusnya mendapatkan penyelesaian.
“Tentunya menerusi siasatan dijalankan, pihak berkuasa akan dapat mengeluarkan satu laporan yang tuntas,” katanya.
Beliau yang juga Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang berkata demikian ketika ditemui selepas menziarahi tiga buah kediaman terpilih pada Program Bandaraya Penyayang Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Sungai Udang, di Kampung Bertam Ulu, hari ini.
Hadir sama, Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman bersama Setiausaha MBMB Muhammad Firdaus Shariff.
Menurut Rais, bagi mengelak perkara sama berulang terutamanya di premis kediaman bertingkat, JBPM sudah diminta untuk melakukan pemeriksaan keatas bangunan-bangunan ini.
“Selain itu juga saya turut meminta kerjasama dari pihak bomba untuk melakukan pemeriksaan keatas semua bangunan bertingkat.
“Kita tidak mahu perkara sama berulang lagi. Pihak Kerajaan Negeri memandangkan serius berhubung perkara ini,” katanya.
Terdahulu, dalam insiden kebakaran yang meragut nyawa seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun pada Jumaat lalu, penduduk di PPR Krubong mendakwa berlakunya kerosakan pada peralatan kebakaran sehingga pasukan bomba berhadapan kesukaran ketika operasi pemadaman di unit rumah yang berada di tingkat enam.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.