Sorting by

×

SILK ROAD PASSION: HIMPUN 80 KARYA ARTIS MALAYSIA-CHINA

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

BANDA HILIR 10 April – Sebanyak 80 karya lukisan seni cat air hasil gabungan artis Malaysia dan China dipamerkan pada Pameran Silk Road Passion: Malaysia-China Art Exhibiton 2026 di Balai Seni Lukis, di sini bermula 7 April hingga 31 Julai depan.

Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) Erne Hamsah berkata, pameran itu memperkukuh hubungan seni dua budaya antara dua negara.

Katanya, bagi PERZIM pameran tersebut merupakan penganjuran antarabangsa pertama bagi 2026 yang dijayakan dengan kerjasama bersama Bahagian Promosi Pelancongan (BPP), Persatuan Cat Air Malaysia serta Persatuan Seni Halus Wilayah Fujian, China.

“Pameran ini juga bertujuan untuk merancakkan lagi Tahun Melawat Melaka 2.0 dan Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Penganjuran pameran bertaraf antarabangsa ini, sekali gus menzahirkan keyakinan PERZIM untuk terus memainkan peranan penting sebagai peneraju dalam memartabatkan seni, budaya dan warisan Melaka.

“Kita harap kerjasama strategik dengan rakan-rakan industri dari Fujian, China akan terus diperkukuh melalui lebih banyak program bersama pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada Majlis Perasmian Pameran Silk Road Passion: Malaysia-China Art Exhibition di Balai Seni Lukis, di sini, semalam yang disempurnakan oleh Penasihat Khas Pelaburan dan Hal Ehwal Negara China Kepada Ketua Menteri Datuk Wira Lim Ban Hong.

Turut hadir, Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Nasrul Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Taming Sari Berhad (MTSB) Nur Azan Hassan serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Erne berkata, Malaysia-China Art Exhibition 2026 itu juga dilihat sebagai antara pemangkin utama pengukuhan hubungan dua negara melalui pendekatan diplomasi seni.

“Pameran ini sekali gus mengangkat Melaka sebagai hab seni dan budaya dan memperkukuh jaringan antarabangsa dalam sektor seni visual,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

373
Kongsi :
Previous post SENARAI ATLET MELAKA KE SUKMA XXII DIUMUM HUJUNG MEI
Next post TARIAN ZAPIN MERIAHKAN RUMAH TERBUKA DUN BEMBAN