
SIMPOSIUM JULUNG KALI PHMK PERKENAL ‘ADVANCED TRAUMA TEAM’
AYER KEROH 13 April – Hospital Pantai Melaka (PHMK) terus memperkukuh perkhidmatan rawatan kecemasan di negeri ini menerusi penganjuran julung kali ‘2026 PHMK Trauma Symposium’ sebagai platform memperkenalkan keupayaan pasukan trauma bersepadu hospital itu kepada umum.
Ketua Pegawai Eksekutif Pantai Hospital Melaka Dr. Kevin Khoo Teck Joon berkata, penganjuran simposium itu tercetus daripada idea yang digarap selepas beliau mula menerajui hospital itu pada November tahun lalu.
Katanya, hospital swasta itu memiliki barisan doktor perubatan berpengalaman dalam pelbagai kepakaran, namun kekuatan sebenar terletak pada keupayaan bergerak secara berpasukan dalam mengendalikan kes trauma.
“Penubuhan pasukan trauma yang lebih kedepan menjadi asas kepada penganjuran simposium ini yang mana ia sekali gus membuka ruang kepada pengamal perubatan dan orang ramai untuk memahami perkhidmatan yang ditawarkan di PHMK,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada 2026 PHMK Trauma Symposium di sebuah hotel, di sini, pada Sabtu.
Pada simposium itu turut diadakan acara pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara PHMK dan Malaysian Society of Traumatology and Emergency Medicine (MASCOT) bagi memperkukuh latihan dan perkongsian kepakaran dalam bidang trauma.
Jelas Dr. Kevin, kerjasama itu membolehkan PHMK menjadi pusat latihan, di samping membuka ruang kepada perkongsian pengetahuan dan sumber antara kedua-dua pihak.
Mengulas lanjut, Dr. Kevin berkata simposium yang menghimpunkan hampir 300 pengamal perubatan dalam dan luar Melaka dan diadakan secara percuma itu bertujuan untuk berkongsi ilmu dan memberi peluang kepada semua pihak belajar serta mengenali keupayaan yang PHMK sediakan.
“Simposium ini turut menjadi medan penting kami membina jaringan dalam kalangan pakar perubatan yang hadir kerana dalam rawatan trauma dan kecemasan pesakit perlu dirujuk kepada pakar yang tepat dengan segera.
“Penganjuran simposium sehari ini akan berkembang seiring masa, kita merancang untuk dijadikan sebagai acara tahunan dan anjurkan untuk dua ke tiga hari termasuk penyertaan lebih meluas di luar Melaka.
Selain itu, Dr. Kevin berkata Pantai Hospital Melaka juga akan menganjurkan lebih banyak simposium melibatkan kepakaran lain termasuk pembedahan robotik sebagai usaha berkongsi perkembangan terkini dalam bidang perubatan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


