Sorting by

×

SINAR ZULHIJAH SANTUNI ORANG ASLI MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

ASAHAN 10 Jun – Lebih 130 keluarga Orang Asli beragama Islam dari 14 buah kampung di negeri ini menerima agihan daging lembu korban yang diagihkan menerusi program korban tahunan yang diadakan.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, agihan itu dibuat hasil daripada sumbangan lima ekor lembu iaitu tiga daripadanya sumbangan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan dua lagi dari badan bukan kerajaan (NGO) Hidayah Centre Foundation (HCF).

Katanya, korban anjuran bersama MAIM dan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) itu adalah program yang diadakan secara berkala pada setiap tahun dan turut membabitkan NGO yang sudi menjalinkan kerjasama.

“Difahamkan pada program ini sebanyak lima ekor lembu dikorbankan dan kemudian diagihkan kepada 132 orang ketua isi rumah (KIR) di 14 buah kampung Orang Asli di Melaka.

“Selain disertai kakitangan MAIM, JAIM, HCF, program ini turut disertai masyarakat Orang Asli untuk sama-sama melapah dan memproses daging korban sebelum diagihkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Sinar Zulhijah Bersempena Ibadah Korban Aidiladha Bersama Masyarakat Orang Asli Negeri Melaka Tahun 2025M/1445H, di Kampung Orang Asli Bukit Seraya, di sini, hari ini.

Menurut Rahmad, matlamat penganjuran ibadah korban bersama komuniti Orang Asli juga bertujuan bagi memperkukuhkan pemahaman saudara muslim khususnya masyarakat Orang Asli mengenai penghayatan ibadah korban.

“Menerusi program ini ia memberi peluang kepada saudara baharu khususnya dapat melihat sendiri bagaimana kaedah dan cara Islam melaksanakan ibadah korban.

“Malah ibadah korban ini juga dapat memberi erti sebenar pengorbanan dalam Islam itu dapat dihayati sekali gus berpeluang menyantuni komuniti Orang Asli,” katanya.

Jelas Rahmad, pihak penganjur turut menyediakan sumbangan daging kepada keluarga Orang Asli bukan beragama Islam dalam menyantuni mereka serta berkongsi rezeki.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

676
Kongsi :
Previous post MELAKA KE ARAH NEGERI TVET, JADI PUSAT SUMBER TENAGA MAHIR NEGARA
Next post UNIMEL BAKAL TERIMA LEBIH 1,300 PELAJAR BAHARU