
SINGGAH SAHUR SEMARAK RAMADAN, MEDAN PERKUKUH SOLIDARITI
TABOH NANING 7 Mac – Sebagai aktiviti popular sepanjang Ramadan, program singgah sahur dilihat terus relevan sebagai medium untuk menyuburkan semangat solidariti antara Muslim.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taboh Naning Datuk Zulkiflee Mohd Zin berkata, sesuai dengan peredaran zaman program singgah sahur kini menjadi platform bagi mengumpul permasalahan yang dihadapi rakyat.
Katanya, pendekatan serampang dua mata itu adalah selaras dengan gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) yang mengutamakan kebajikan dan menyemai semangat kebersamaan tanpa mengira apa jua latar belakang.
“Menerusi program dianjurkan ini kami menyantuni pengawal keselamatan bertugas di beberapa sekolah dan institusi pengajian tinggi sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Taboh Naning serta anggota bertugas di Balai Polis Simpang Ampat.
“Selain bertanyakan khabar persinggahan yang singkat ini digunakan untuk mendapatkan maklum balas atau permasalahan dalam komuniti mereka.
“Jadual tugas yang tidak menentu mungkin menyebabkan mereka ini mengalami kesukaran untuk hadir membuat aduan, berikutan itu menerusi program seumpama ini mereka berpeluang menyuarakan permasalahan dihadapi,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri berkata demikian ketika ditemui selepas Program Singgah Sahur Peringkat DUN Taboh Naning, hari ini.
Hadir sama Setiausaha Politik Ketua Menteri Melaka, Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid merangkap Ketua Pemuda UMNO Bahagian Masjid Tanah dan 40 orang sukarelawan.
Zulkiflee berkata program itu melibatkan tujuh persinggahan dengan sukarelawan bertugas mengagihkan hidangan bersahur kepada pengawal keselamatan dan anggota polis yang bertugas.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


