Sorting by

×

SISA BUANGAN JADI SUMBER TENAGA BERNILAI

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

SUNGAI UDANG 2 April – Pembinaan Loji Waste-to-Energy (WtE) Sungai Udang menjadikan sistem pengurusan pepejal di Melaka lebih sistematik, mewujudkan persekitaran bersih dan mampan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, menggunakan teknologi WtE negara maju seperti Jepun, Singapura dan Sweden tidak menganggap sisa pepejal sebagai satu masalah sebaliknya, sebagai sumber tenaga yang bernilai.

Katanya, dalam konteks Melaka pula, pengurusan sisa pepejal telah melalui pelbagai fasa pembangunan, bermula dengan penggunaan Tapak Pelupusan Krubong dan kini beralih kepada Tapak Pelupusan Sungai Udang sebagai tapak utama.

“Namun, seiring dengan pembangunan negeri yang semakin pesat serta peningkatan jumlah penduduk, cabaran dalam pengurusan sisa turut berdepan dengan tekanan yang semakin kompleks.

“Statistik menunjukkan jumlah sisa pepejal di Melaka terus meningkat daripada 376,096 tan pada tahun 2023 kepada 400,448 tan pada tahun 2025, dengan kadar pertumbuhan purata antara 3 hingga 6 peratus setiap tahun,” kata Ketua Menteri.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Loji WtE Sungai Udang di tapak WtE Sungai Udang, di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming; Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin, barisan Exco serta Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Yang turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Wira Dr. M Noor Azman Taib; Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara Dato’ Ir. Ts. Gs. Dr. Mohd Azhar Abd Hamid; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakoff Corporation Berhad Syahrunizam Samsudin, Ketua-ketua Jabatan Negeri Melaka serta Persekutuan.

Ab Rauf berkata, hakikat ini menunjukkan bahawa tekanan terhadap sistem pengurusan sisa di Melaka semakin meningkat pada setiap tahun.

“Jika kita terus bergantung kepada kaedah lama, kita hanya akan mewariskan masalah ini kepada generasi akan datang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

501
Kongsi :
Previous post ‘HADIAH’ MASJID BAHARU UNTUK PENDUDUK TAMAN DESA BERTAM
Next post AGENDA MELAKA LESTARI, BERDAYA TAHAN FOKUS UTAMA KERAJAAN NEGERI