Sorting by

×

SITI NURHALIZA HARGAI PENGIKTIRAFAN MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

KLEBANG 1 Januari – Tahun baharu 2026 membuka tirai amat bermakna buat biduanita negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, apabila dianugerah Anugerah Ikon Seni Dan Budaya Melaka.

Anugerah itu diberikan di atas sumbangan cemerlang dan konsisten beliau dalam memartabatkan seni suara serta budaya Melayu, selain turut menyokong pemerkasaan identiti budaya Melaka di peringkat nasional dan antarabangsa.

Penyanyi nombor satu negara itu mengakui tidak menyangka akan menerima anugerah itu, namun beliau amat berterima kasih kepada Kerajaan Negeri di atas pengiktarafan tersebut.

“Saya benar-benar berterima kasih dan tidak sangka akan menerima anugerah ini tetapi apabila menerima daripada Kerajaan Negeri saya menerima dengan rendah diri.

“Malah saya melihat ini adalah hasil daripada usaha yang dibuat selama ini. Usaha ini bukan baharu tetapi sudah lama untuk memartabatkan irama Melayu.

“Ini mungkin juga kerana sepanjang 2025 saya turut terlibat dengan beberapa sambutan di Melaka, jadi Kerajaan Negeri menghargainya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Sambutan Tahun Baharu 2026, Peluncuran Tahun Melawat Melaka 2.0 dan Sambutan Jubli Intan Rejimen Gerak Khas 2025, Di Encore Melaka.

Majlis itu diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam dan isteri Toh Puan Datuk Wira Asmah Abdul Rahman.

Turut memeriahkan majlis, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh bersama isteri Datin Seri Utama Datuk Wira Zuriyah Ab Aziz.

Yang turut hadir, Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; ketua-ketua jabatan serta lain-lain kenamaan.

Penyanyi yang mesra disapa ‘Tokti’ itu berkata, selain bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, beliau juga bersedia berkolaborasi dengan Kerajaan Negeri Melaka dalam mempromosikan Tahun Melawat Melaka 2.0.

“Sekiranya dijemput lagi dan sesuai dengan jadual, insya-Allah saya akan hadir lagi untuk mempromosikan Melaka yang amat dekat di hati saya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

702
Kongsi :
Previous post MELAKA SERLAH NILAI TERSEMBUNYI SEKTOR PELANCONGAN
Next post MELAKA NOKTAHKAN 2025 DENGAN DERETAN KEJAYAAN DAN PENCAPAIAN