
‘SITI NURHALIZA MELAKA’ MERIAHKAN RUMAH TERBUKA AIDILFITRI DUN PENGKALAN BATU
PENGKALAN BATU 12 April – Persembahan artis tempatan ‘Siti Nurhaliza Melaka’ antara tarikan yang menceriakan suasana Rumah Terbuka Aidilfitri Melaka Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu 2026.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu Datuk Kalsom Noordin berkata, selain kemeriahan di pentas, penganjuran majlis itu pada tahun ini turut menampilkan pendekatan lebih teratur dan sistematik bagi memastikan keselesaan pengunjung, khususnya dalam menangani isu kesesakan parkir yang sering berlaku sebelum ini.
Katanya, perancangan rapi daripada segi logistik dan aliran trafik berjaya memastikan kelancaran majlis sepanjang berlangsung dan pelbagai persembahan menarik menghiburkan lebih 5,000 pengunjung yang hadir.
“Makanan adalah mencukupi dan semua pengunjung dapat menikmati pelbagai hidangan hari raya seperti sate, kuah kacang, ketupat, lemang serta aneka juadah lain.
“Antara kelainan majlis ini juga kita selitkan sekali Majlis Penghargaan Pelajar Cemerlang membabitkan 23 anak- anak DUN Pengkalan Batu yang memperoleh keputusan membanggakan dalam pelajaran.
“Pada masa sama, seramai 30 penduduk yang bakal menunaikan ibadah haji turut menerima sumbangan bagi memudahkan urusan mereka nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis tersebut yang berlangsung di Japerun Pengkalan Batu, di sini, semalam.
Majlis itu turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam dan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh serta kenamaan lain.
Kalsom yang juga Exco Pembangunan Wanita, Masyarakat dan Komuniti negeri berkata majlis yang bermula jam 12 tengahari dan berakhir jam 4 petang itu menjadi medan menghimpunkan pelbagai bangsa dalam DUN Pengkalan Batu.
“Seronok dapat melihat masyarakat berbilang kaum dalam DUN Pengkalan Batu ini duduk semeja menikmati pelbagai juadah yang disediakan.
“Secara keseluruhannya, saya rasa penganjuran tahun ini lebih berjaya dengan suasana yang selesa, parkir teratur serta pengunjung pulang dalam keadaan kenyang dan gembira,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


