
SKETSA RETRO, LAYAR HITAM PUTIH JADI TARIKAN MALAM DI MALAYSIA HERITAGE STUDIOS
AYER KEROH 6 Januari – Persembahan sketsa ikonik berkonsepkan retro di Malaysia Heritage Studios (MHS) sempena Program Melaka Bila Larut Malam 3.0 berjaya menggamit kehadiran hampir 1,500 pengunjung.
Ketua Pembangunan Perniagaan MHS, Aina Roslan berkata, Sketsa Madu Tiga, permainan tradisional Galah Panjang serta tayangan Layar Hitam Putih karya Allahyarham Tan Sri P Ramlee menjadi antara tarikan utama disusun pihaknya sempena Program Melaka Bila Larut Malam 3.0 Edisi Januari.

Katanya, sambutan memberangsangkan itu sekali gus membuka tirai penganjuran program berkonsepkan warisan bagi tahun 2026 dengan permulaan yang amat positif.
“MHS yang lazimnya beroperasi pada waktu siang menawarkan pengalaman berbeza kepada pengunjung menerusi pembukaan khas pada waktu malam, sekali gus mewujudkan suasana lebih unik dan eksklusif.
“Program Melaka Bila Larut Malam 3.0 di MHS mengetengahkan tema berasaskan warisan dengan variasi konsep mengikut bulan yang mana bagi edisi Januari, tema retro dipilih, manakala tema mistik akan diperkenalkan pada edisi Disember, dengan harga tiket serendah RM12.
“Selain sketsa dan permainan tradisional, pengunjung turut disajikan tayangan Layar Hitam Putih yang memaparkan babak ikonik filem arahan Allahyarham Tan Sri P Ramlee,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Aina berkata, pada program tersebut pengunjung turut berpeluang meneroka Immortal Maze yang menampilkan arca mitologi tempatan seperti Naga Tasik Chini dan Gajah Mina, sekali gus menambah elemen interaktif kepada pengalaman lawatan.
“Selain itu, pengunjung juga dapat menyaksikan 13 buah rumah tradisional Malaysia yang dipamerkan di dalam kawasan MHS sebagai usaha memperkenalkan kepelbagaian seni bina warisan negara.
“Tetapan tema bagi Program Melaka Bila Larut Malam edisi bulanan akan diumumkan dari semasa ke semasa menerusi media sosial rasmi MHS bagi menarik lebih ramai pengunjung, khususnya pelancong dan pencinta warisan budaya,”katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


