Sorting by

×

SKM MELAKA SALUR ZAKAT WAKALAH RM20,000 KEPADA 10 MASJID

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

AYER KEROH 17 Mac – Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Melaka menyalurkan sumbangan zakat wakalah berjumlah RM20,000 kepada 10 buah masjid di negeri ini sempena Program Ihya Ramadan Bersama Gerakan Koperasi Negeri Melaka 2026.

Pengarah SKM Negeri Melaka Mustafa Kamal Mohd Nor berkata, setiap masjid menerima sumbangan sebanyak RM2,000 hasil peruntukan yang diluluskan oleh ibu pejabat SKM.

Katanya, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) SKM selaras dengan Prinsip Koperasi ke-7 iaitu prihatin terhadap masyarakat.

“Zakat wakalah ini diserahkan kepada 10 masjid dan surau dalam tiga daerah di negeri ini merangkumi daerah Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Ihya Ramadan Bersama Gerakan Koperasi Negeri Melaka Tahun 2026 yang disempurnakan Exco Pembangunan Usahawan, Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin di sebuah hotel, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) Negeri Melaka Zaidan Abd Hadi serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Mustafa berkata program tersebut turut melibatkan kerjasama pelbagai pihak termasuk Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Koperasi Pengusaha Pekerja Malaysia Berhad serta Co-opbank Pertama Malaysia Berhad.

“Program ini bukan sahaja bertujuan membantu golongan memerlukan, malah untuk menunjukkan bahawa gerakan koperasi turut memainkan peranan dalam menyantuni masyarakat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

369
Kongsi :
Previous post MAIM SERAH 100 KIT MESRA IBADAH KEPADA 3 HOSPITAL