Sorting by

×

SKUAD ANAK MUDA POGRESIF EJEN TRANSFORMASI BELIA MASJID TANAH

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

TANJUNG BIDARA 25 Mei – Skuad Anak Muda Progresif iaitu sayap Pertubuhan Progresif Masjid Tanah, membuka ruang kepada belia bersama-sama membantu memacu pembangunan komuniti setempat.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab  Rauf Yusoh berkata, skuad berkenaan bukan sekadar mengumpulkan anak muda tetapi menjadi ‘think tank’ dan tenaga penggerak bagi menjayakan aktiviti kesukarelawanan, program kemasyarakatan dan kebajikan, keusahawanan, kesukanan serta kepimpinan.

Malah Ketua Menteri mahu melihat skuad ditubuhkan itu proaktif turun padang, merapatkan jurang antara belia bandar dan luar bandar, mendengar denyut nadi selain bertindak sebagai jambatan kepada penyelesaian isu dalam kalangan orang muda.

“Hasrat saya jelas, kita mahu anak muda Masjid Tanah bukan sahaja bersuara, tetapi berdaya saing, berdikari dan menjadi ejen perubahan mampu menjadi pemangkin kemajuan negeri.

“Skuad ini adalah pentas untuk menyumbang, membina pengaruh dan menjadikan Masjid Tanah model
pembangunan belia luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Minum Petang Pertubuhan Progresif Masjid Tanah di Villa D’Acqua, Kampung Pulau, Masjid Tanah petang Tadi.

Hadir sama pada majlis itu Pengerusi  Pertubuhan Progresif Masjid Tanah, Aliza Abdul Yasin bersama 150 ahlinya yang lain.

Terdahulu, turut berlangsung penyerahan watikah sebagai penaung pertubuhan Progresif Masjid Tanah kepada Ketua Menteri dan pelancran Skuad Anak Muda Progresif.

Beliau yakin dan percaya, dengan semangat membara dan bimbingan berterusan, skuad ini mampu mencorak landskap baharu kepimpinan belia di Melaka.

“Secara peribadi, saya amat teruja kerana dapat bersua muka dan beramah mesra dengan lebih 150 ahli Pertubuhan termasuk lebih 50 anak muda dari lima Dewan Undangan Negeri dalam Parlimen Masjid Tanah.

“Pertubuhan Progresif Masjid Tanah bukan sekadar organisasi bagi memenuhi masa lapang, ia adalah sebuah wadah yang menggabungkan tenaga dan semangat masyarakat setempat untuk menjayakan agenda sosial, ekonomi dan Pembangunan komuniti yang inklusif, sekali gus membina cita-cita masa depan yang lebih baik untuk rakyat Masjid Tanah,” katanya.

Sejak penubuhannya pada tahun 2020, pertubuhan in it elah membuktikan komitmen yang tinggi dalam membantu meningkatkan taraf hidup komuniti Masjid Tanah melalui pelbagai program bantuan sosial, kebajikan dan pembangunan komuniti.

Antara inisiatif utama yang telah dilaksanakan termasuklah bantuan kewangan kepada asnaf dan anak yatim, misi bantuan bencana dan kecemasan serta pelbagai program latihan kemahiran dan keagamaan yang memberi peluang kepada masyarakat untuk meningkatkan kualiti hidup mereka.

Langgani Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

332
Kongsi :
Previous post JANGAN ABAIKAN IMUNISASI
Next post DONDANG SAYANG ‘MENU’ UTAMA WTD, WTC 2025