Sorting by

×

SLOGAN MESRA BUKAN SEKADAR ATAS KAIN RENTANG

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

TANJUNG BIDARA 9 Februari – Menjaga kebajikan rakyat bukan hanya slogan semata-mata, tetapi bagi Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh ia adalah satu amanah yang perlu sampai ke pintu rumah dan dirasai di meja makan setiap keluarga.

Ketua Menteri berkata, pentadbiran Kerajaan Negeri bergerak dengan satu pegangan berteraskan Melaka Sayang Rakyat atau bahasa ringkasnya MESRA.

Katanya, mengambil kira keadaan semasa Kerajaan Negeri sentiasa memberi perhatian kepada warga emas, keluarga B40, ibu tunggal dan mereka yang memerlukan.

“Apatah lagi, dalam usaha Kerajaan Negeri sedang membangunkan negeri ini, kita tidak mahu ada rakyat Melaka yang rasa terpinggir atau tertinggal daripada arus pembangunan.

“Majlis yang diadakan ini bukan sekadar menyerahkan sumbangan. Ini adalah tanda kehadiran Kerajaan Negeri di sisi rakyat meraikan perayaan bersama-sama tanpa mengira kaum dan latar belakang, mengeratkan silaturrahim dan perpaduan sejajar dengan aspirasi MADANI yang dibawa oleh Kerajaan hari ini,” kata Ketua Menteri.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan Sempena Perayaan Tahun Baharu Cina 2026 Parlimen Masjid Tanah di Villa D’Acqua, Masjid Tanah, di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Pembangunan Wanita Keluarga dan Komuniti negeri Datuk kalsom Noordin; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer serta Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim, Dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin.

Yang turut hadir Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi Dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rosli Abdullah; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali serta Pengarah Kebajikan Masyarakat Negeri Melaka Halyjah Muhamad.

Terdahulu pada majis sama Ketua Menteri menyampaikan sumbangan berjumlah RM35,000 kepada 175 orang penerima dalam Parlimen Masjid Tanah, termasuk kit makanan sebagai persediaan menyambut Tahun Baharu Cina pada 17 Februari nanti.

Selain itu, melalui peruntukan Pejabat Ketua Menteri Melaka beliau memperuntukan sebanyak RM10,000 kepada 100 orang penerima dari Parlimen Masjid Tanah.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

300
Kongsi :
Previous post MBMB PANTAU ISU PARKIR BAZAR AIDILFITRI
Next post BIARLAH SUMBANGAN INI MEMBAWA SENYUMAN – AB RAUF