Sorting by

×

SLOGAN SEMANGAT ‘TUAH’, ‘JEBAT’ TERPAHAT DI MURAL SK SERI BEMBAN

Masa Membaca:2 Minit, 0 Saat

BEMBAN 5 Julai – Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Bemban kini semakin ceria apabila dihiasi mural bersaiz 20×15 yang terpahat slogan Negeri Melaka ‘Bijak Laksana Tuah, Berani Laksana Jebat’.

Mural itu dihasilkan hasil usaha kreatif yang menggabungkan semangat kerjasama antara Jeperun Bemban dan warga sekolah berkenaan bersempena program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR).

Dengan sokongan dana sebanyak RM3,000 yang disumbangkan oleh pihak Jeperun, pihak sekolah telah membeli pelbagai keperluan seperti cat, berus serta kelengkapan mengecat lain bagi merealisasikan mural gergasi di dinding sekolah tersebut.

Selain menambah baik aspek keceriaan, mural tersebut juga disifatkan membawa semangat baharu kepada semua warga sekolah kerana ia melambangkan nilai kebijaksanaan dan keberanian dua pahlawan legenda Melayu Melaka, sebagai inspirasi kepada generasi muda.

Jurulatih Utama Pendidikan Seni Visual Negeri Melaka merangkap guru pendidikan visual SK Seri Bemban, Yusmaniza Mohd Yusof berkata, proses penghasilan mural itu menonjolkan semangat kerjasama tinggi apabila warga pendidik dan kakitangan sekolah bergotong-royong secara bergilir-gilir menyiapkan mural tersebut.

“Tidak terkecuali juga, pihak Jeperun sendiri turut turun padang memberikan bantuan dan sokongan moral kepada warga sekolah dan akhirnya projek ini berjaya disiapkan dalam tempoh dua minggu sahaja,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Fb img 1751639665334
LUKISAN mural yang menambah keceriaan dan membawa semangat baharu kepada warga SK Seri Bemban. Foto Aduka Buana / Pejabat Ketua Menteri

Terdahulu, perasmian mural tersebut telah disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang turut mengumumkan sumbangan RM5,000 kepada pihak sekolah.

Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban, Mohd Raziff Yakop; Pengarah Pendidikan Negeri Melaka Mahfudzah Mohamed Noor serta kenamaan lain.

Sementara itu, Guru Besar SK Seri Bemban, Nizam Aziz berterima kasih kepada Ketua Menteri di atas sumbangan berkenaan yang disifatkan sebagai tanda cakna pemimpin negeri terhadap aspek kebajikan.

Katanya, sumbangan tersebut akan digunakan sebaik mungkin bagi membaik pulih fasiliti sekolah yang telah rosak termasuk surau, dewan terbuka serta pembinaan padang untuk pembangunan sukan pelajar.

“Sumbangan ini sangat membantu pihak sekolah dalam usaha membaik pulih kemudahan dan prasarana sedia ada, sekali gus meningkatkan keselesaan dan kualiti pembelajaran para pelajar.

“Terima kasih juga diucapkan kepada pihak Jeperun Bemban kerana memilih SK Seri Bemban sebagai lokasi pelaksanaan program yang amat bermakna ini,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

404
Kongsi :
Previous post WRUR PECAH KEBUNTUAN PENDUDUK LUBOK KASAU
Next post RENTAK BERTANDAK PEMANGKIN PULIHARA AKAR BUDAYA – KSU MOTAC