
SMA AL-ASYRAF PULAU SEBANG SEKOLAH TERBAIK STAM NEGERI MELAKA 2025
AYER KEROH 6 Februari – Sekolah Menengah Agama (SMA) JAIM Al-Asyraf, Pulau Sebang muncul sebagai sekolah terbaik Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2025 Peringkat Negeri Melaka apabila mencatatkan 97.67 peratus kelulusan, mengatasi sekolah-sekolah agama lain di negeri ini.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, sekolah tersebut mencatatkan kadar kelulusan tinggi dengan rekod peningkatan prestasi menerusi Gred Purata Sekolah (GPS) 2.04 mata berbanding 2.06 mata pada tahun 2024.
Katanya, kejayaan itu sekali gus meletakkan SMA JAIM Al-Asyraf di hadapan, diikuti beberapa sekolah lain termasuk SMA JAIM Al-Ahmadi dan Sekolah Menengah Arab JAIM Assyakirin yang turut menunjukkan prestasi memberangsangkan.
“Tahniah kepada SMA JAIM Al-Asyraf kerana 12 daripada 13 calon yang cemerlang peroleh Mumtaz adalah pelajar daripada sekolah ini, di mana dua daripadanya memperoleh Mumtaz Sufi.
“Pencapaian sekolah-sekolah agama ini membuktikan keberkesanan pendekatan pengajaran serta komitmen tinggi warga pendidik dalam melahirkan pelajar berilmu dan berdaya saing.
“Saya berharap kecemerlangan ini dapat diteruskan dan dipertingkatkan bagi mencapai sasaran kelulusan lebih tinggi pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Apresiasi Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) Negeri Melaka 2025 di Jabatan Pendidikan Negeri Melaka Bukit Baru, di sini, semalam.
Hadir sama, Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal negeri, Datuk Rosli Abdullah; Pengarah Pendidikan Negeri Melaka, Mahfudzah Mohamed Noor; Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Azhan Md Samad serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Rahmad berkata, Kerajaan Negeri akan terus memberikan sokongan kepada usaha berterusan Jabatan Pendidikan Negeri dalam memastikan sistem pendidikan terus relevan.
“Kerajaan Negeri melalui Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) telah memperuntukan RM1,000 seorang kepada pelajar STAM yang layak untuk urusan persekolahan mereka.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


