
SMK KRUBONG HARUMKAN NAMA MELAKA, CIPTA BOT MESRA ALAM
PAYA RUMPUT 4 Oktober – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Krubong berjaya mengharumkan nama Negeri Melaka apabila dinobat johan keseluruhan Pertandingan TM Tech Titans Kebangsaan 2025, yang berlangsung di Multimedia University Cyberjaya dari 25 hingga 27 September lalu.
Kejayaan bersejarah itu terhasil menerusi projek ‘Amphibious Boat’ oleh pasukan KRUSS MAKERS yang mencipta satu inovasi bot mesra alam yang mampu bergerak di darat dan air bagi mengutip sisa pepejal di permukaan.
Menurut Pengetua SMK Krubong, Ruslinda Rasul, kejayaan itu menjadi bukti bahawa pelajar SMK Krubong bukan sahaja menunjukkan semangat yang tinggi, bahkan turut membuktikan kemampuan sekolah luar bandar di sebuah negeri yang kecil di peringkat kebangsaan.
“Ia menjadi inspirasi bukan sahaja kepada sekolah, malah kepada seluruh komuniti pendidikan Melaka dengan sokongan padu Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) menjadi bukti bahawa sekolah luar bandar juga mampu melakar nama di persada negara melalui inovasi dan teknologi.
“Dengan semangat “Cerdas, Ceria, Cemerlang”, SMK Krubong kini menjadi ikon pendidikan inovatif negeri, sekali gus menyemarakkan inspirasi kepada generasi muda untuk berani mencipta, berinovasi, dan berjaya,” katanya.
Sementara itu, mentor pasukan, Nathan Balakhrisnan berkata, kejayaan tersebut adalah hasil usaha gigih serta komitmen tinggi para pelajar yang tidak mudah menyerah kalah.
“Murid-murid membuktikan bahawa dengan kerja berpasukan dan semangat yang kental, segala cabaran boleh diubah menjadi kejayaan,” katanya.
Selaku johan, KRUSS MAKERS SMK Krubong membawa pulang Anugerah Platinum beserta hadiah wang tunai RM5,000.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.