Sorting by

×

STAF UTEM MAUT KANCIL DIREMPUH 4X4

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

DURIAN TUNGGAL 17 Mei – Penolong Pendaftar Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) maut selepas kereta Perodua kancil dipandunya dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Simpang Gading, Durian Tunggal, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, mangsa, Fawwaz Amir Kamarudin, 38, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Ashari Abu Samah berkata, siasatan awal mendapati, ketika kejadian mangsa sedang dalam perjalanan dari arah Durian Tunggal menghala ke Kesang Pajak.

Katanya, kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah kereta jenis Proton Waja cuba memotong kereta dipandu mangsa di jalan yang berselekoh dengan garisan putih berkembar.

Katanya, ketika itu, datang sebuah pacuan empat roda jenis Isuzu DMax dari arah bertentangan cuba mengelak menyebabkannya hilang kawalan dan terbabas, lalu merempuh hadapan kereta mangsa.

“Kemalangan itu menyebabkan Perodua Kancil itu remuk di bahagian hadapan dan pemandunya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka dan Pol 61 telah dikeluarkan bagi menjalankan bedah siasat,” katanya.

Beliau berkata, pemandu kenderaan pacuan empat roda berusia 24 tahun yang merupakan penyelia sebuah kebun durian pula mengalami kecederaan di bahagian dada dan kaki kanan.

Ujarnya, pemandu itu kini ditahan untuk permohonan reman mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.

Tambahnya, kedua-dua kenderaan terlibat turut dibawa ke PUSPAKOM Rembia bagi tujuan pemeriksaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2194
Kongsi :
Previous post ‘MOTOTOURISM’ BUKA LEMBARAN BAHARU PELANCONGAN MELAKA
Next post SI CILIK TERUJA ‘NAIK HAJI’