
STAM 2025: 13 CALON MELAKA PEROLEH MUMTAZ, GPN TERBAIK DALAM 5 TAHUN
AYER KEROH 5 Februari – Seramai 13 calon Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2025 di negeri ini memperoleh keputusan membanggakan dengan keputusan Mumtaz, termasuk tiga Mumtaz Sufi.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, pada tahun 2025 seramai 101 calon dari seluruh negeri ini telah berdaftar mengambil peperiksaan terbabit berbanding tahun lalu hanya 91 orang.
Secara keseluruhan, jelas beliau, Melaka merekodkan peratus kelulusan sebanyak 87.21 peratus dan menunjukkan prestasi positif berbanding tahun sebelumnya dengan peningkatan 14.75 peratus.
“Pencapaian ini membuktikan kesungguhan pelajar serta komitmen tinggi guru dan semua pihak yang terlibat dalam memastikan kejayaan calon STAM di negeri ini.
“STAM bukan peperiksaan yang mudah kerana melibatkan 10 subjek wajib lulus dan jika gagal satu subjek akan menyebabkan calon gagal keseluruhan peperiksaan itu.
“Melaka terus menunjukkan peningkatan ketara apabila Gred Purata Negeri (GPN) merekodkan 2.47 mata sekali gus menjadi pencapaian terbaik dalam tempoh lima tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Apresiasi Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) Negeri Melaka 2025 di Jabatan Pendidikan Negeri Melaka Bukit Baru, di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Negeri, Datuk Rosli Abdullah; Pengarah Pendidikan Negeri Melaka, Mahfudzah Mohamed Noor; Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Azhan Md Samad serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Rahmad berkata, kejayaan itu adalah hasil sokongan berterusan Kerajaan Negeri yang sentiasa memandang serius aspek pendidikan, termasuk menyediakan kemudahan serta peruntukan kewangan bagi program pembelajaran tambahan dan kelas tuisyen.
“Selain bantuan Kerajaan Negeri, kejayaan ini turut dipacu oleh komitmen Jabatan Pendidikan, guru-guru, ibu bapa serta sokongan masyarakat setempat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


