
STATUS KLINIK DESA SIMPANG KERAYONG KEKAL TIDAK DIBINA SEMULA
SERI NEGERI 8 Disember – Klinik Desa Simpang Kerayong tidak akan dibina semula selaras dengan halatuju baharu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata, klinik berkenaan diisytiharkan tidak selamat pada April 2013 susulan penilaian teknikal dijalankan.
Katanya, perkhidmatan kesihatan klinik itu ditutup oleh KKM pada September 2022 selaras perundangan tanah kerajaan yang mana tapaknya diserahkan kepada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan JKPTG melalui KKM pada 2024.
“Perkhidmatan Kesihatan di Klinik Desa Simpang Kerayong telah dipindahkan ke Klinik Kesihatan Jasin yang jaraknya 3 kilometer (km) dari lokasi asal.
“Klinik Kesihatan Jasin mempunyai perkhidmatan yang komprehensif dan berkualiti serta mempunyai pakar Perubatan Keluarga dan penduduk kawasan sekitar kini mendapatkan rawatan primer, antenatal, kesihatan kanak-kanak, imunisasi, perancang keluarga serta rawatan asas di klinik ini tanpa gangguan perkhidmatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Khaidhirah Abu Zahar (BN-Rim) pada Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Hee Sem berkata KKM telah menyatakan bermula Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11), tiada lagi pembinaan baharu Klinik Desa di seluruh negara.
Jelasnya, dasar itu memfokuskan kepada pengukuhan perkhidmatan di Klinik Kesihatan yang lebih komprehensif dan selamat.
“Model Klinik Desa lama tidak lagi selari dengan keperluan semasa dari segi keselamatan, kemudahan dan tenaga kerja dan Klinik Desa hanya boleh dinaik taraf di bawah penyelenggaraan kecil jika struktur asal masih wujud dan selamat digunakan.
“Namun di Klinik Desa Simpang Kerayong ia tidak layak untuk naik taraf dan pembinaan semula tidak dibenarkan mengikut dasar KKM,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


