Sorting by

×

STESEN MINYAK, MASJID, DEWAN TERBUKA AKHIRI PENANTIAN RAKYAT ASAHAN

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

ASAHAN 4 April – Penantian rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan untuk menikmati kemudahan stesen minyak bakal berakhir apabila dua kemudahan asas itu akan dibangunkan tidak lama lagi.

Sebelum ini, hanya sebuah stesen minyak dibangunkan di DUN Asahan iaitu di Pekan Selandar, di mana ia memberi kesukaran kepada penduduk yang tinggal lebih jauh hingga terpaksa mengisi minyak di pekan lain dan negeri bersempadan dengan jarak kira-kira 10 hingga 20 minit dari penempatan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh memaklumkan, kemudahan stesen minyak itu akan dibangunkan di Pekan Nyalas dan Pekan Asahan, sekali gus menjadi bukti dan komitmen Kerajaan Negeri serta wakil rakyat kawasan mengutamakan kesejahteraan rakyat.

“Selain stesen minyak, warga DUN Asahan juga bakal menerima Masjid Baharu Selandar
dengan kos sekitar RM8.4 juta, di mana ia mampu menampung sehingga 1,000 jemaah.

“Pada masa sama, Dewan Terbuka Kampung Abbey bernilai RM500,000 juga yang akan mula dibina pada tahun ini untuk manfaat penduduk setempat dan sekitar kawasan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Alor Gajah: Kampung Kita dan Majlis Jamuan Aidilfitri Melaka Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Bukit Senggeh, di sini, hari ini.

Jamuan itu turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan Datuk Fairul Nizam Roslan; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; ketua-ketua jabatan dan agensi serta lain-lain kenamaan.

Berkaitan isu pemilikan tanah, Ketua Menteri memaklumkan, penantian 15 tahun seramai 96 generasi kedua Felda Bukit Senggeh juga berakhir apabila mereka kini telah menerima notis Seksyen 5A bagi pemilikan tanah.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

386
Kongsi :
Previous post WRUR DUN ASAHAN TERIMA 154 ADUAN, 600 PERMOHONAN RAKYAT
Next post 5,000 ‘SERBU’ JAMUAN AIDILFITRI DUN KESIDANG MELAKA SAYANG RAKYAT