Sorting by

×

SUKAN DUA JIWA SATU HATI MELAKA 2026 LEBIH MERIAH

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

PAYA RUMPUT 27 Januari – Kejohanan Sukan Dua Jiwa Satu Hati yang julung kali diperkenalkan tahun lalu bakal diteruskan tahun ini dengan skala lebih besar dan meriah.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, kejohanan itu diteruskan selepas melihat kejayaan edisi sulungnya yang berjaya menarik kehadiran 70,000 pengunjung, selain lebih 5,000 anggota unit beruniform di negeri ini.

Jelas beliau, acara itu dijangka akan diadakan pada pertengahan tahun ini, selain lokasinya juga akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

“Dalam tempoh terdekat kita akan bermesyuarat untuk memuktamadkan kejohanan kali ini, di mana kita jangkakan acara tahun ini mungkin diadakan selepas Hari Raya Aidiladha.

“Jika tahun lepas sudah cukup gamat, untuk tahun ini kita percaya ia akan lebih meriah dengan penglibatan lebih ramai anggota tentera, termasuk pimpinan tertinggi Angkatan Tentera Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengiringi Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyempurnakan Majlis Penyerahan Projek Jiwa Madani (PJM) Kementerian Pertahanan Tahun 2026 di Masjid An-Najwan, Cheng, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Lokman Hakim Ali; Panglima Tentera Darat Jeneral Datuk Azhan Md Othman; Panglima Medan Barat Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman; Panglima 3 Divisyen Mejar Jeneral Datuk Mohamad Suria Mohamad Saad serta lain-lain kenamaan.

Dalam pada itu, Rais berkata, hubungan erat di antara Kerajaan Negeri dan tentera cukup istimewa memandangkan pelbagai program berskala besar telah dianjurkan bagi mendekatkan lagi anggota benteng pertahanan negara itu dengan rakyat.

Pada masa sama, ujar beliau, Melaka juga menjadi negeri pertama melantik tentera menjadi Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) membabitkan kesemua empat PBT di negeri ini.

“Ini membuktikan bahawa Kerajaan Negeri sentiasa cakna dan terus memperkukuh hubungan erat bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” tambah beliau.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

448
Kongsi :
Previous post NAIK MELAKA RIVER CRUISE PERCUMA UNTUK WARGA KASTAM
Next post PELAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN OKU, BUKTI KOMITMEN POLYCC