Sorting by

×

SUKAN SEA: ELRICK MAHU HARUMKAN NAMA MELAKA, NEGARA

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

ASAHAN 4 Disember – Atlet rejam lembing, Elrick Roslee, 23, yang bakal membuat penampilan pertama di temasya Sukan SEA ke-33 Thailand bertekad memberikan aksi terbaik untuk mengharumkan nama negara dan Negeri Melaka.

Pemuda Orang Asli dari Bukit Seraya, Selandar itu berkata, walaupun bakal berdepan saingan sengit daripada atlet-atlet lain dari rantau Asia Tenggara, namun dia optimis mampu memberikan yang terbaik.

“Tidak dinafikan saya sedikit gemuruh memandangkan ini merupakan penampilan pertama, namun itu bukan penghalang untuk saya membuat catatan terbaik sekali gus memperbaharui rekod peribadi.

“Kejohanan ini adalah pentas untuk saya buktikan kemampuan diri selain menimba pengalaman memandangkan ini adalah kejohanan besar di Asia Tenggara,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurut Elrick, persiapan rapi sudah dilakukan sebelum dia berangkat ke Thailand pada 13 Disember ini.

“Saingan dijadualkan berlangsung pada 15 Disember dan saya sudah pun bersedia selain persiapan juga telah dilakukan dengan baik.

“Kini saya memperlahankan sesi latihan supaya badan mendapat rehat yang cukup selain untuk mengelak daripada berlaku sebarang kecederaan yang boleh menjejaskan prestasi,” katanya.

Terdahulu, Elrick disantuni Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan merangkap Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan di kediamannya di Kampung Orang Asli Bukit Seraya.

Dalam kunjungan itu, Fairul Nizam turut menyampaikan sedikit sumbangan selain menitipkan kata-kata semangat untuk anak muda itu menampilkan aksi terbaik di pentas Sukan SEA Thailand nanti.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

163
Kongsi :
Previous post BALAI ISLAM KAMPUNG PULAU BERI MANFAAT LEBIH 5,000 PENDUDUK