Sorting by

×

SUMBANGAN AIDILFITRI HARGAI PERANAN PEMIMPIN MASYARAKAT

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

AYER KEROH 8 Mac – Kerajaan Negeri menyalurkan sumbangan Aidilfitri berjumlah RM208,100 berserta kit raya kepada barisan kepimpinan masyarakat sebagai penghargaan atas peranan mereka di peringkat akar umbi.

Sumbangan itu diberikan kepada Ahli Jawatankuasa Bahagian, Ketua UMNO Cawangan, Ketua Wanita Cawangan, Ketua Pemuda Cawangan serta Ketua Puteri Cawangan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, sumbangan itu selari dengan gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) yang menekankan kepimpinan yang sentiasa bersama rakyat.

“Seiring dengan tekad MeSRa, saya berbesar hati menyampaikan sumbangan Aidilfitri berserta kit raya kepada barisan kepimpinan masyarakat.

“Sumbangan ini mungkin tidak sebesar jasa dan pengorbanan dicurahkan, tetapi ia tanda penghargaan dan ingatan bahawa segala usaha serta komitmen kalian amat dihargai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Pemimpin Masyarakat di Seri Bendahara di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka Datuk Rais Yasin; Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka Senator Datuk Dr. Mustafa Musa; Bendahari Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka Datuk Mohd Ridwan Mohd Ali; Ketua Penerangan Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka Datuk Fairul Nizam Roslan serta kenamaan lain.

Terdahulu, Ab Rauf turut menjelaskan bahawa gagasan MeSRa diperkenalkan bukan sekadar slogan, sebaliknya merupakan amanah kepada semua pemimpin untuk menterjemahkannya dalam setiap tindakan dan keputusan.

“MeSRa bukan hanya slogan, ia adalah janji bahawa kepimpinan ini berdiri bersama rakyat, merasai denyut nadi mereka, memahami harapan mereka dan memikul tanggungjawab mereka.

“Saya berharap sumbangan ini dapat membantu meringankan sedikit perbelanjaan penerima dalam membuat persiapan menyambut Syawal,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

345
Kongsi :
Previous post PEMIMPIN MASYARAKAT TUNJANG KEKUATAN PEMBANGUNAN MELAKA
Next post PELABURAN KE MELAKA CECAH TERTINGGI DALAM 20 TAHUN – AB RAUF