Sorting by

×

SUNGAI BADAU TIDAK TERSISIH

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

PAYA RUMPUT 22 Februari – Mempunyai hanya kira-kira 400 penduduk tidak menjadikan Kampung Sungai Badau, Krubong yang terletak agak jauh dari kawasan bandar ketinggalan dari segi kemudahan fasiliti dan infrastruktur asas.

Kampung tradisional yang dihuni sepenuhnya masyarakat Melayu itu terus menikmati pembangunan hasil keprihatinan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput Datuk Rais Yasin yang sentiasa peka terhadap keperluan penduduk setempat.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Sungai Badau, Noor Ariffin Mohamed berkata, kemudahan asas yang disediakan mencukupi bagi memastikan keselesaan penduduk dalam menjalani kehidupan harian.

Menurutnya, selain mempunyai surau dan dewan orang ramai, kampung itu juga mempunyai sebuah Tadika Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) yang menjadi antara tadika dikenali dengan pencapaian cemerlang.

“Walaupun jumlah penduduk tidak ramai, kemudahan yang ada cukup untuk kegunaan komuniti di sini malah anak-anak dapat bersekolah dengan selesa.

“Selain itu, walaupun di sini tiada kawasan taman perumahan namun ramai yang mengambil peluang mendirikan Rumah Mesra Rakyat (RMR) dan kami JPKK cuba sebaiknya membantu mereka untuk membuat permohonan.

“Malah kemudahan padang sepak takraw yang ada juga menjadi lokasi golongan belia beriadah pada waktu petang,” katanya.

Menurutnya, setiap aduan yang diajukan penduduk termasuk berkaitan lokasi pembuangan sampah dan keadaan jalan raya sentiasa diberi perhatian supaya penyelesaian dapat dicapai.

“Segala permasalahan atau yang dibangkitkan oleh penduduk akan diberi perhatian sebelum tindakan dapat diambil secara berperingkat mengikut keutamaan.

“Meskipun kampung ini tidak lagi berdepan masalah banjir seperti sebelum ini, besar harapan penduduk agar sistem saliran dan perparitan dapat dinaik taraf bagi memastikan ia tidak berulang lagi,” katanya.

Sementara itu Noor Ariffin berkata, penduduk di Kampung Sungai Badau khususnya amat bertuah apabila setiap program atau aktiviti di situ mendapat sokongan yang amat baik daripada Adun kawasan.

“Kebiasaannya setiap kali bulan Ramadan pelbagai aktiviti akan diadakan di surau seperti khatam al-Quran, tadarus termasuk memasak bubur lambuk dan YB akan mencuri masa untuk datang memberi sokongan meskipun dalam waktu yang singkat.

“Sikap ambil cakna ini dan keperibadian beliau yang mesra dan mudah didekati membuatkan penduduk berasa selesa dan amat berbesar hati,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

458
Kongsi :
Previous post PENDUDUK KRUBONG BERSYUKUR MASALAH TANAH KUBUR ‘KRITIKAL’ KINI SELESAI