Sorting by

×

SUNGAI RAMBAI DAPAT KLINIK KESIHATAN BAHARU

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

SUNGAI RAMBAI 2 Disember – Penduduk Sungai Rambai bakal menikmati kemudahan kesihatan lebih selesa dan lengkap apabila sebuah klinik kesihatan baharu dijangka dibina di kawasan itu bermula awal tahun ini.

Timbalan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Siti Faizah Abdul Aziz berkata, projek pembinaan klinik kesihatan itu melibatkan peruntukan berjumlah RM43.3 juta yang disalurkan oleh Kerajaan Pusat.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rambai memaklumkan, kerja-kerja awalan sedang dilaksanakan dan perbincangan telah dibuat bersama Jabatan Kesihatan Negeri, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Tender pembinaan dijangka dibuka sekitar Februari atau Mac ini dan selepas itu kerja-kerja pecah tanah akan dilaksanakan.

“Saya memohon agar Kerajaan Persekutuan dapat mempercepatkan proses ini supaya masyarakat dapat melihat komitmen pembinaan klinik kesihatan baharu di Sungai Rambai,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Parit Penghulu, di sini, pada Rabu.

Siti Faizah berkata, klinik kesihatan baharu itu akan dibina di atas tanah milik Kerajaan Persekutuan di bawah KKM yang terletak bersebelahan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Rambai.

“Pembinaan klinik baharu amat diperlukan memandangkan klinik kesihatan sedia ada boleh dikategorikan sebagai daif dan hanya menjalani kerja-kerja penyelenggaraan kecil tanpa penambahbaikan struktur yang menyeluruh.

“Dengan kepadatan penduduk semakin meningkat serta pertambahan kawasan perumahan baharu di Sungai Rambai, keperluan sebuah klinik kesihatan yang lebih lengkap amat mendesak,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

474
Kongsi :
Previous post KEUNIKAN MAKANAN, SUASANA DI MELAKA BIKIN PELANCONG INDONESIA ‘JATUH HATI’
Next post MELAKA DESTINASI UTAMA PELANCONGAN PERUBATAN, JADI PILIHAN PASARAN INDONESIA