Sorting by

×

SUNGAI RAMBAI IKON WARISAN BUDAYA

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

SUNGAI RAMBAI 15 Mac – Festival Kuih Tradisional Aidilfitri, Pelita Raya dan Bubur Lambuk Peringkat Negeri Melaka Tahun 2026 yang berlangsung di Dataran Riverside Sungai Rambai mendapat sambutan luar biasa.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rambai, Datuk Siti Faizah Abdul Azis berkata, meskipun penganjuran tahun ini tidak banyak berbeza berbanding tahun lalu, namun jumlah penyertaan peserta menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan.

ā€œTahun lalu kita mempunyai 14 lokasi bagi pertandingan Pelita Raya, namun tahun ini jumlah itu meningkat kepada 18 lokasi.

ā€œPeningkatan penyertaan itu jelas menampakkan keceriaan serta kreativiti yang lebih baik di setiap lokasi yang mengambil bahagian.

ā€œFestival tahun ini turut menampilkan penglibatan komuniti Baba Nyonya yang dijemput khas bagi memperkenalkan kuih tradisional mereka, termasuk demonstrasi penyediaan makanan warisan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada sidang media selepas Majlis Perasmian Penutupan Festival Kuih Tradisional Aidilfitri, Pelita Raya dan Bubur Lambuk Peringkat Negeri Melaka Tahun 2026 di Dataran Riverside Sungai Rambai, di sini, malam tadi.

Festival itu telah dirasmikan Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Zaidi Attan dan turut hadir, Pegawai Kewangan Negeri Melaka Datuk Wira Salhah Salleh; Pegawai Daerah Jasin Datuk Rahizi Ranom serta lain-lain kenamaan.

Siti Faizah yang juga Timbalan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan berkata, pertandingan memasak dodol pada tahun ini turut menerima penyertaan menggalakkan daripada komuniti setempat.

Menurut beliau, bagi memastikan penilaian pertandingan dilakukan secara telus, pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) telah dijemput khas sebagai barisan juri.

Terdahulu, suasana festival turut dimeriahkan dengan acara cabutan bertuah selain kanak-kanak yang hadir tidak melepaskan peluang bermain bunga api bersama keluarga.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

403
Kongsi :
Previous post MAHASISWA PERLU BERFIKIRAN BESAR, BERANI CIPTA PELUANG BAHARU – AB RAUF
Next post TOK RAOP JADI INSPIRASI ANAK MUDA