Sorting by

×

SWCORP MELAKA PASANG CCTV PANTAU PEMBUANGAN SAMPAH HARAM

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

DUYONG 22 Julai – Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Melaka memasang kamera litar tertutup (CCTV) mudah alih di empat kawasan panas pembuangan sampah haram di negeri ini dalam usaha membanteras aktiviti tidak bertanggungjawab itu.

Pengarah SWCorp Melaka, Nor Zaki Md Nor berkata, inisiatif tersebut merupakan kali pertama dilaksanakan pada tahun ini dan menunjukkan kesan positif dengan penurunan kadar pembuangan sampah haram sebanyak 60 hingga 70 peratus di lokasi yang dipantau.

Katanya, sebanyak 12 lokasi pembuangan sampah haram telah dikenal pasti di seluruh Melaka dan empat daripadanya adalah kawasan panas iaitu di Telok Mas, Batu Berendam, Alor Gajah dan Jasin.

“Pemantauan menerusi CCTV ini bukan sahaja untuk rakaman semata-mata, tetapi juga bagi tujuan penguatkuasaan undang-undang terhadap individu atau kumpulan yang membuang sampah secara haram.

“Kita laksanakan pendekatan holistik selaras dengan matlamat Kerajaan Negeri untuk menjadikan Melaka sebagai destinasi pelancongan bersih dan mampan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Cuci-Cuci Duyong bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Duyong di Kampung Pengkalan Rama Tengah, di sini, pada Ahad.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem dan Pengurus Operasi Wilayah SWM Environment Melaka, Khaw Su Aun.

Nor Zaki berkata, kebanyakan kes yang dikesan melibatkan sisa industri dan bahan binaan yang dibuang oleh operator tidak berlesen yang ingin mengelak daripada membayar caj pelupusan.

“Isu ini sering berulang terutama di kawasan terpencil yang kurang pemantauan. Oleh itu, kita akan terus menggerakkan CCTV mudah alih ini ke lokasi baharu yang dikenal pasti mengikut keperluan semasa.

“SWCorp memandang serius perkara ini. Sebagai contoh, tahun lalu satu kes dibawa ke mahkamah dan pelaku telah dikenakan denda RM20,000,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

572
Kongsi :
Previous post PEMBINAAN JATI DIRI MENERUSI PERTANDINGAN PENGISAHAN KENEGARAAN
Next post MPJ GIAT INDAHKAN JASIN MENJELANG WTD 2025