Sorting by

×

SYARIKAT SWASTA, GLC DIALU-ALUKAN JALIN KERJASAMA DENGAN KOMUNITI SETEMPAT

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

SUNGAI UDANG 31 Mei – Lebih banyak syarikat swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dipelawa untuk tampil bekerjasama dengan komuniti setempat dalam menjayakan program kemasyarakatan.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang merangkap Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, penglibatan syarikat-syarikat ini sama ada secara langsung atau tidak langsung memberi impak besar kepada komuniti setempat.

“Banyak bentuk kerjasama yang dapat dilaksanakan oleh syarikat-syarikat ini dengan masyarakat setempat sama ada melibatkan penyertaan kakitangan atau menyumbang pandangan bagi menjayakan sesuatu program.

“Malah sekiranya syarikat terbabit sudi menghulur sumbangan ini secara tidak langsung mampu menyelesaikan pelbagai masalah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Kenderaan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Sungai Udang, di Masjid Al-Ghufran Bertam Ulu, semalam.

Hadir sama Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad.

Menurut Rais, menerusi Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dijalankan oleh syarikat swasta dan GLC bukan sahaja dapat membentuk hubungan baik antara masyarakat setempat malah memperkukuh lagi komitmen pihak mereka.

“Mewakili kariah kampung ini saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada TNB kerana sudi tampil menyumbang van jenazah untuk kegunaan penduduk setempat.

“Malah sempena Hari Raya Aidiladha yang akan disambut juga, TNB turut menyumbang wang tunai RM5,000 bagi membolehkan kariah masjid mengadakan ibadah korban,” katanya.

Terdahulu, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh turut menyampaikan sumbangan beras kepada jemaah yang hadir menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Ghufran Bertam Ulu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

704
Kongsi :
Previous post WRUR DUN SUNGAI UDANG : KEBAJIKAN, PEMBANGUNAN MASYARAKAT DIBERI PERHATIAN
Next post WRUR DUN LENDU: 183 ISU RAKYAT DISELESAIKAN