
SYARIKAT TEKNOLOGI PERUBATAN JEPUN BERMINAT LUASKAN KEPAKARAN DI MELAKA
OSAKA, JEPUN 4 September – Sebuah syarikat peneraju global dalam teknologi diagnostik in-vitro (IVD), peranti perubatan dan sistem robotik perubatan dari Jepun, Sysmex Corporation berminat untuk memperluaskan kepakaran mereka di Melaka.
Ia termasuklah meningkatkan penggunaan mesin pembedahan robotik Hinotori di Pusat Perubatan Mahkota, Banda Hilir.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, hasrat itu dinyatakan syarikat terbabit ketika lawatan kerja rasmi delegasi Kerajaan Negeri ke syarikat berkenaan di Kobe, bersempena World Expo 2025 Osaka yang sedang berlangsung.
Ab Rauf berkata, Kerajaan Negeri amat komited untuk memperkasa transformasi Melaka sebagai hab kesihatan utama di Asia Tenggara.
“Dengan kepakaran lebih 50 tahun yang dimiliki syarikat Sysmex Corporation, kerjasama ini diyakini mampu memperkukuh inovasi perubatan serta meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan rakyat,” katanya selepas lawatan berkenaan.
Terdahulu, lawatan itu turut disertai Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan; Pegawai Kewangan Negeri Melaka Datuk Wira Salhah Salleh; Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri Datuk Khaidhirah Abu Zahar serta lain-lain kenamaan.
Delegasi Kerajaan Negeri disambut Pengurus Besar Sysmex Corporation, Shinjiro Akamatsu serta Pegawai Kanan Eksekutif Pemasarannya, Takashi Kubota.
Semalam, delegasi Melaka turut melawat Nipro Corporation di Shiga, pengeluar peranti perubatan, farmaseutikal dan perubatan regenerative, sekali gus membuka potensi pelaburan bernilai RM50 juta di Melaka.
Ketika ini, Melaka mempunyai tujuh hospital utama merangkumi empat hospital pakar swasta dan tiga hospital kerajaan yang mampu memenuhi keperluan 1.05 juta penduduk selain berperanan sebagai tarikan pesakit antarabangsa.
Sejak 1980, pelaburan Jepun di Melaka yang berjumlah RM5.9 bilion memperlihatkan keyakinan berterusan pelabur negara itu terhadap negeri berkenaan.
Dalam pada itu, Ab Rauf menyuarakan keyakinan lawatan ke dua-dua syarikat utama Jepun itu akan membuka ruang kerjasama jangka panjang yang memberi impak positif terhadap inovasi kesihatan dan kesejahteraan rakyat, selain menjadikan Melaka destinasi pelaburan berdaya saing.
Beliau turut mempelawa kepemimpinan syarikat Sysmex dan Nipro untuk menghadiri Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025 di Melaka pada 27 hingga 29 September ini, yang akan menonjolkan potensi Melaka sebagai hab pelancongan kesihatan serantau.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.