
SYIAR ISLAM SUBUR DI BAWAH KEPIMPINAN AB RAUF – MUFTI MELAKA
PENGKALAN BATU 11 Disember – Kerajaan Negeri dipimpin Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh amat komited mempergiat usaha memartabatkan syiar Islam di Melaka melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif bermanfaat buat seluruh ummah.
Mufti Negeri Melaka Datuk Wira Abdul Halim Tawil berkata, komitmen dan kesungguhan tinggi ditunjukkan Ketua Menteri memperlihatkan keberkesanan komprehensif menerusi penganjuran program, hal pendidikan selain pengukuhan institusi masjid.
“Kepimpinan Ketua Menteri masih singkat iaitu dua tahun lebih sahaja, namun beliau mempunyai komitmen dan kesungguhan dalam menggerakkan serta membangunkan Melaka dalam pelbagai aspek.
“Bukan hanya tertumpu kepada pelancongan, perindustrian, perdagangan dan perniagaan tetapi konteks perkembangan Islam serta dakwah juga beliau amat serius apabila tampil dengan banyak idea baharu.
“Saya melihat kesuburan perkembangan Islam khususnya pendidikan, kebajikan, dakwah, pentadbiran masjid dan sosial juga berkembang dengan baik seiring dengan peredaran zaman,” katanya ketika wawancara khas bersama Melaka Hari Ini di pejabatnya.
Menurut Abdul Halim, komitmen Ketua Menteri dalam menyuburkan Islam di Melaka dapat dilihat bukan sahaja menerusi pelaksanaan program seperti Melaka Berselawat dan sambutan Maal Hijrah yang merekodkan kehadiran pengunjung mencecah 60,000 pada 2024, tetapi turut memberi fokus kepada pembangunan industri halal.
“Penganjuran Festival Halal Antarabangsa yang masuk tahun kedua turut mendapat sambutan menggalakkan. Menyentuh hal pembangunan industri halal Ketua Menteri cukup komited malah, beliau turut mengalu-alukan semua pengusaha dan peniaga berasaskan produk makanan untuk mendapatkan persijilan halal.
“Selain itu juga beliau turut meminta untuk mengembangkan sektor penyembelih profesional supaya lebih ramai penyembelih profesional dapat dilahirkan, sekali gus memenuhi memenuhi permintaan industri penyembelihan halal yang mempunyai permintaan tinggi di luar negara,” katanya.
Abdul Halim menambah, pendidikan Islam juga diberikan perhatian oleh Ketua Menteri dan kita dapat melihat hasilnya apabila keputusan Ujian Penilaian Al-Quran dan Fardhu Ain (UPKK) Melaka amat menggalakkan dan negeri ini mencapai kedudukan cemerlang di peringkat kebangsaan.
“Komitmen ditunjukkan Ketua Menteri juga dapat dilihat dengan pembangunan sebuah Balai Islam di Kampung Pulau yang bukan sahaja akan menjadi pusat ilmu dan dakwah tetapi juga tempat menyatukan kekuatan umat Islam bawah satu bumbung.
“Balai Islam boleh dijadikan model, mungkin ini akan menjadi konsep dalam pembangunan sesebuah masjid di Melaka. Tidak lagi terhadap kepada mengimarahkan, malah masjid subur sebagai pusat sehenti dalam kalangan umat Islam khususnya,” katanya.
Mengulas lanjut Abdul Halim berkata usaha membangun dan menyuburkan Islam oleh Ab Rauf dilaksanakan secara menyeluruh termasuklah mencetuskan idea melaksanakan sistem tanah perkuburan digital dijangka bermula pada 2026.
“Bagi melestarikan Melaka, pembangunan perlu seimbang antara duniawi dan ukhrawi, fizikal dan rohani serta spiritual,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


