
SYUKUR MASIH RAMAI YANG PRIHATIN
BEMBAN 1 Julai – Sekali sekala menerima tetamu, sudah cukup menggembirakan dan menghilangkan rasa bosan Mohd Diah Mohd Yasin, 70, kini sedang menempuh ujian akibat serangan angin ahmar selain menderita masalah jantung serta gout.
Isterinya, Fauziah Md Yatim, 64, berkata, pada hari biasa suaminya lebih banyak menghabiskan masa dengan berbaring dan menonton televisyen berikutan pergerakannya terbatas akibat masalah kesihatan dialaminya sejak 10 tahun lalu.
Katanya, bukan sahaja dapat meluahkan mengenai masalah kesihatan dialami, lawatan Ziarah Kasih bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban itu juga membawa khabar gembira apabila suaminya menerima kerusi roda yang baharu.
“Rasa gembira melihat suami rancak berbual dengan tetamu yang singgah ke rumah kami. Sekurang-kurangnya dengan kunjungan ini dapat memberikan semangat dan menjadi penguat untuk suami melawan penyakitnya.
“Suami masih boleh bangun, tetapi jika mahu ke tandas dia perlu dipapah. Alhamdulillah bantuan kerusi roda memudahkan lagi urusan saya menjaga suami,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tehel Ulu, di sini, semalam.
Terdahulu pasangan itu menerima kunjungan Ziarah Kasih yang diketuai Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin.
Selain Kalsom Program Ziarah Kasih turut melibatkan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan; Timbalan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Siti Faizah Abdul Azis, Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri, Datuk Khaidirah Abu Zahar serta Penyelaras DUN Bemban, Mohd Raziff Yakop yang bergerak secara berasingan ke kediaman penduduk sudah dikenal pasti.
Lebih 80 penduduk kurang bernasib baik disantuni sepanjang berlangsungnya WRUR edisi ke lima di DUN Bemban bermula 22 Jun lalu hingga 5 Julai nanti.
Ibu kepada lima anak ini menyambut baik inisiatif WRUR kerana ia adalah satu bentuk komitmen Kerajaan Negeri dalam menyantuni golongan kurang bernasib baik.
“Program WRUR ini dapat bantu mendekatkan rakyat dengan kerajaan dan agensi berkaitan, tetamu yang hadir bukan sahaja Exco tetapi pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga ada bersama,” katanya.
Sementara itu Kalsom berkata, program ziarah kasih bertujuan untuk menyantuni keluarga kurang berkemampuan, golongan miskin, warga emas dan orang kurang upaya (OKU).
“Menerusi ziarah kasih pemimpin masyarakat yang turut serta bagi merasai, mendengar rintihan dan denyut nadi rakyat seterusnya bantuan dihulurkan seikhlas hati,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.