
TABIKA KEMAS AUTISME PERTAMA NEGARA KINI BEROPERASI DI MELAKA
PAYA RUMPUT 15 Julai – Melaka menjadi negeri perintis kepada penubuhan Tabika Austisme pertama negara di Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) selepas sebanyak tiga buah Tabika Tunas Istimewa itu mula beroperasi semalam.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, tabika itu beroperasi setiap hari dari jam 8 pagi hingga 12 tengah hari membabitkan tiga daerah dalam negeri ini iaitu Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin.
Jelas beliau, di daerah Melaka Tengah, tabika berkenaan telah diwujudkan di Taman Krubong Jaya, di mana ia mampu menempatkan maksimum 14 murid berkeperluan khas dengan dua orang tenaga pengajar khas.
Beliau memaklumkan, inisiatif tabika untuk anak-anak autisme itu telah diperjuangkan Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan dibawa Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Akmal Saleh ke peringkat Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) sebelum ia berjaya direalisasikan.
“Alhamdulillah, ini merupakan satu manifestasi usaha dan keprihatinan Kerajaan Negeri dalam pendidikan khusus untuk anak-anak istimewa dan selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput saya turut berbangga dengan penubuhan tabika ini di kawasan ini.
“Tidak dilupa juga ucapan terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menerajui KKDW dan telah meluluskan penubuhan Tabika KEMAS Autisme pertama negara di Negeri Melaka ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengiringi Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang mengadakan Lawatan Kerja Ke Tabika Tunas Istimewa @ KEMAS Hang Jebat, di sini, hari ini.
Menurut Rais, selain menjadi pencetus kepada penubuhan tabika autisme itu, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan sebanyak RM300,000 bagi membantu kesemua tiga tabika KEMAS khas itu di negeri ini dalam sudut fasiliti tambahan.
“Antara bantuan yang akan disalurkan adalah seperti keperluan pendingin hawa, kerusi dan meja serta lain-lain keperluan di setiap tabika berkenaan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.