
TABIKA, TASKA PERPADUAN, PUSAT RUKUN TETANGGA DI MELAKA DIBAIK PULIH
AYER KEROH 28 November – Usaha meningkatkan kualiti kemudahan pendidikan awal dan komuniti di Melaka diteruskan melalui pelaksanaan kerja membaik pulih melibatkan 15 premis termasuk Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Perpaduan, Taska Perpaduan serta Pusat Rukun Tetangga.
Kerja-kerja ini merangkumi penyelenggaraan, mengecat dan membaiki kerosakan imej premis bagi memastikan persekitaran lebih kondusif untuk kanak-kanak serta mendorong penyertaan aktif komuniti.
Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Negeri Melaka Intan Suhana Yusuff berkata, kerja-kerja pembaikan itu melibatkan peruntukan sebanyak RM500,000 bagi kesemua 15 premis berkenaan.
Menurut beliau, usaha ini bertujuan menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih selesa dan kondusif untuk kanak-kanak di Tabika dan Taska Perpaduan.
“Kerja membaik pulih dilaksanakan secara berfasa mengikut keperluan setiap lokasi dan semua peruntukan pembaikan tahun ini telah digunakan sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Pintar Kreatif Tabika Perpaduan Peringkat Negeri Melaka Tahun 2025 di Dewan Taming Sari MBMB, di sini, semalam.
Katanya, di Melaka terdapat 64 Tabika Perpaduan, daripada jumlah itu 16 premis beroperasi secara sewaan, manakala selebihnya menggunakan premis milik JPNIN atau berkongsi bangunan seperti balai raya dan dewan orang ramai.
“Kita juga menggunakan peruntukan JPNIN untuk kecemasan, contohnya membaiki kerosakan bumbung akibat cuaca buruk, terutama pada musim hujan.
“Selain itu, permohonan perabot baharu untuk beberapa Tabika dan Taska Perpaduan juga telah dihantar sebagai usaha menambah baik imej premis ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

