Sorting by

×

TAHAP KESEDARAN USAHAWAN MELAKA DAFTAR MYIPO MENINGKAT

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

AYER LIMAU 12 Mei – Tahap kesedaran usahawan Negeri Melaka berhubung Permohonan Harta Intelek (MyIPO) sepanjang tahun lalu menunjukkan peningkatan.

Pengarah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) Melaka, Khairul Zaman Mustafa Kamal berkata, peningkatan saban tahun menunjukkan usahawan Melaka celik dengan perkembangan semasa, sekali gus melindungi perniagaan mereka.

Katanya, untuk rekod tahun lalu, pihaknya menerima 1,695 permohonan berbanding tahun 2023 sebanyak 1,352 sahaja.

“Bagi Melaka permohonan segmen Cap Dagangan MyIPO antara paling tinggi dengan 975 permohonan diikuti segmen Hak Cipta dengan 652 permohonan; segmen Paten dengan 53 permohonan dan 15 permohonan bagi segmen Reka Bentuk Perindustrian bagi tahun 2024.

“Tahap kesedaran usahawan tempatan di Melaka antara yang tertinggi jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Program
Santuni MADANI Perbadanan Harta Intelek Malaysia yang dirasmikan oleh Ketua Pengarah MyIPO Kamal Kormin dan dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau merangkap Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Kemudahan Awam negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer di Balai Raya Kampung Sungai Jerneh, di sini, pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Khairul Zaman berkata MyIPO menawarkan enam segmen untuk usahawan mohon bagi melindungi perniagaan mereka daripada ditiru, diciplak dan dicuri.

Jelasnya, enam segmen tersebut adalah segmen Logo;Paten; Cap Dagangan; Reka Bentuk Perindustrian; Petunjuk Geografi dan Hak Cipta.

“Dalam usaha untuk memberi kesedaran kepada usahawan tempatan, MyIPO Melaka sering bekerjasama dengan agensi berkaitan untuk bersama-sama melaksanakan pelbagai program sekitar negeri,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

988
Kongsi :
Previous post MELSDEAF MOHON DANA BANTU 61 ATLET PEKAK BAKAL KE SOPMA, SARAWAK, OKTOBER DEPAN
Next post MELAKA SIASAT DAKWAAN BAYI DEMAM PANAS DIBIAR 11 JAM