
TAHUN BAHARU CINA: ETS SEDIA 12 TRIP LALUAN JB-KL-JB DI STESEN BATANG MELAKA
ASAHAN 12 Februari – Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) menambah enam lagi trip perjalanan menjadikan 12 trip keseluruhan sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina bermula 13 hingga 22 Februari ini.
Ia sekali gus menambah pilihan perjalanan kepada pengguna termasuk yang melalui Stesen Batang Melaka.
Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, 12 trip perjalanan itu disediakan bagi laluan Johor Bahru (JB) Sentral ke Kuala Lumpur (KL) Sentral dan KL Sentral ke JB Sentral.
Katanya, penambahan kekerapan trip itu dijangka memberi kemudahan kepada orang ramai untuk pulang ke kampung atau merancang percutian, selain merancakkan pergerakan pelancong ke Melaka sepanjang musim perayaan.
“Kemudahan ini bukan sahaja memudahkan mobiliti harian, malah menyokong pertumbuhan industri pelancongan termasuk kemasukan pelancong dari Singapura ke Melaka melalui perkhidmatan kereta api.
“Bagi laluan JB Sentral ke KL Sentral yang melalui Stesen Batang Melaka, sebanyak enam perkhidmatan disediakan dan begitu juga enam trip disediakan bagi laluan KL Sentral ke JB Sentral,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas membuat lawatan tapak di Stesen Keretapi Batang Melaka di sini hari ini.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan yang juga Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Hameed berkata, akses kepada pengangkutan awam yang selamat, selesa dan bersepadu itu memberi manfaat besar khususnya kepada penduduk di Batang Melaka dan Pulau Sebang.
“Kita turut menggalakkan orang ramai agar merancang perjalanan dan membeli tiket lebih awal bagi menikmati tambang fleksibel yang lebih menjimatkan,” katanya.
Untuk rekod, perkhidmatan ETS itu adalah hasil Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas, Johor Bahru yang menghubungkan Johor Bahru hingga ke Padang Besar, Perlis.
Bagi Melaka, stesen terlibat ialah Batang Melaka dan Pulau Sebang, Tampin. Sebarang pertanyaan lanjut berkaitan harga tiket boleh dirujuk menerusi laman sesawang rasmi KTMB di www.ktmb.com.my.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

