
TAHUN BAHARU CINA LEBIH MERIAH BUAT 140 PENERIMA DI TANGGA BATU
PAYA RUMPUT 11 Februari – Senyuman kegembiraan jelas terukir pada wajah 140 penerima sumbangan dalam kalangan masyarakat Tionghua yang bakal menyambut Tahun Baharu Cina 17 Februari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput, Datuk Rais Yasin berkata, sumbangan wang tunai RM200 itu adalah sebagai tanda ingatan Kerajaan Melaka kepada mereka memerlukan khususnya B40.
“Saya tumpang gembira melihat penerima pulang dengan senyuman, bagi menceriakan lagi mereka ini kita turut beri buah tangan sampingan iaitu ‘goodies bag’.
“Hasil keprihatinan Kerajaan Negeri diharapkan dapat memeriahkan lagi suasana sambutan Tahun Baharu untuk semua penerima berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan serahan Sumbangan Tahun Baharu Cina Parlimen Tangga Batu yang turut dihadiri Adun Klebang Datuk Wira Lim Ban Hong, di Dewan Taman Paya Rumput Perdana, semalam.
Agihan sumbangan sempena Tahun Baharu Cina itu melibatkan 140 penerima dari empat Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Tangga Batu iaitu Klebang, Pantai Kundor, Sungai Udang dan Paya Rumput.
Beliau yang juga Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Negeri berkata, agihan sumbangan itu juga selaras dengan inisiatif Melaka Sayang Rakyat yang dilancarkan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
“Jumlah pengundi masyarakat Tionghua di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput adalah sekitar 13,000 orang, namun mereka yang layak menerima sumbangan mengikut Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) cuma 40 orang sahaja.
“Berikutan itu kita tambah 100 orang lagi penerima dengan serahan sumbangan kepada mereka ini dilaksanakan esok (hari ini) pada Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina DUN Paya Rumput.
“Saya harap sumbangan ini secara tidak langsung dapat menjadi asas untuk mengukuhkan iltizam dan perpaduan kaum,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


