Sorting by

×

TAHUN MELAWAT MALAYSIA 2026 PLATFORM PERKUKUH JENAMA MALAYSIA DI MATA DUNIA

Masa Membaca:1 Minit, 57 Saat

KLEBANG 28 September- Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM 2026) diyakini menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi rakyat melalui sektor pelancongan yang inklusif, mampan dan menyeluruh, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.

Beliau berkata VM 2026 bukan sekadar meningkatkan jumlah kehadiran pelancong, tetapi menekankan peranan warisan dan kepelbagaian budaya Malaysia sebagai kekuatan untuk dikenali di peringkat antarabangsa.

“Pelancongan bukan sekadar angka semata-mata, tetapi bagaimana sektor itu dapat mengangkat warisan sebagai kekuatan, membangunkan ekonomi rakyat serta menjadikan Malaysia sebuah jenama yang diingati dengan bangga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026 yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Encore Melaka, di sini, malam tadi.

Majlis perasmian itu turut diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat, Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam bersama isteri, Toh Puan Datuk Dr. Wira Asmah Abd Rahman.

Turut hadir, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; menteri-menteri pelancongan serta delegasi dari 159 buah negara yang hadir serta lain-lain kenamaan.

Yang turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta ketua-ketua jabatan dan agensi.

King Sing berkata, hasil perbelanjaan pelancong perlu sampai kepada masyarakat di peringkat akar umbi termasuk keluarga di inap desa luar bandar, penggiat seni kraf, peniaga kecil serta usahawan muda dalam bidang kandungan digital berasaskan budaya.

“Kejayaan sebenar kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 hanya dapat diukur apabila manfaatnya turut dirasai oleh rakyat di seluruh negara, khususnya di peringkat komuniti,” katanya.

King Sing berkata, Malaysia perlu tampil sebagai destinasi mesra pelancong yang bukan sahaja menonjolkan keindahan pulau dan bandar warisan, tetapi juga sebagai sebuah negara hijau, pintar dan lestari.

Katanya, pelaksanaan kempen ini turut berperanan sebagai penyelesaian kepada cabaran global termasuk perubahan iklim, ketidaktentuan geopolitik dan usaha membina ekonomi yang lebih berdaya tahan.

Beliau turut menekankan bahawa pelaksanaan kempen ini akan berteraskan inovasi digital, kerjasama serantau serta pembangunan pelancongan berasaskan komuniti dengan penglibatan aktif seluruh lapisan masyarakat.

“VM 2026 bukan sekadar mengalu-alukan kehadiran pelawat, tetapi memberi dunia alasan untuk mengingati Malaysia, mewujudkan kebanggaan serta kemakmuran kepada rakyat, dan meninggalkan legasi kesatuan serta ketahanan untuk generasi akan datang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

646
Kongsi :
Previous post VISIT MELAKA 2.0 DILANCARKAN HUJUNG TAHUN INI
Next post TIKET MURAH MENARA TAMING SARI DI KARNIVAL WTD 2025