
TAHUN MELAWAT MELAKA 2.0 BANGUNKAN PELANCONGAN BERIMPAK TINGGI
KLEBANG 31 Disember – Tahun Melawat Melaka 2.0 mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri untuk membangunkan pelancongan yang lebih berimpak tinggi, demi manfaat rakyat.
Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, Kerajaan Negeri akan terus menumpukan kepada pembangunan produk dan perkhidmatan pelancongan baharu yang berdaya saing.
Katanya, ia berorientasikan pengalaman, merangkumi pelancongan warisan, seni dan budaya, pelancongan komuniti, agro-pelancongan dan lain-lain.
“Dalam landskap pelancongan yang semakin dinamik dengan kehadiran pelancong yang semakin meningkat saban tahun, Kerajaan Negeri Melaka kini memperkenalkan Visit Melaka 2.0 sebagai hala tuju baharu pembangunan sektor pelancongan negeri dalam menyokong usaha dan perlaksanaan Visit Malaysia 2026.
“Antara teras utama skim ini ialah memperkasakan sektor pelancongan melalui aplikasi Melaka Smart A.I. Tourism serta penyediaan pelbagai insentif pelancongan seperti kemasukan percuma ke lokasi terpilih sempena 11 hari khas bagi badan beruniform dan penjawat awam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Ambang Tahun Baharu 2026, Peluncuran Tahun Melawat Melaka 2.0 dan Majlis Sambutan Jubli Intan Rejimen Gerak Khas di Encore Melaka, di sini, malam ini.
Majlis penuh warna-warni itu diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam dan isteri Toh Puan Datuk Wira Asmah Abdul Rahman.
Turut memeriahkan majlis, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh bersama isteri Datin Seri Utama Datuk Wira Zuriyah Ab Aziz.
Yang turut hadir, Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; ketua-ketua jabatan serta lain-lain kenamaan.
Mengulas lanjut, Abdul Razak berkata inisiatif Tahun Melawat Melaka 2.0 bukan sekadar kempen promosi, tetapi satu kerangka tindakan yang berpandangan ke hadapan.
“Tahun Melawat Melaka 2.0 ini merupakan satu inisiatif dengan penekanan kepada pengalaman pelancong, penglibatan rakyat serta kemampanan jangka panjang industri pelancongan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


