Taman tema RM600 juta bakal dibina di Klebang?

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

KLEBANG 14 Dis. – Sebuah taman tema yang turut dilengkapi sebuah gondola (ferris wheel) terbesar di Malaysia dijangka bakal menjadi satu lagi tarikan baharu di Negeri Melaka yang mana dirancang akan dibangunkan di Klebang.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, projek bernilai RM600 juta itu merupakan pelaburan daripada syarikat swasta yang kini hanya menunggu kelulusan.

Jelasnya, taman tema itu bukan sahaja bakal menjadi lokasi liburan buat seisi keluarga, bahkan pada masa sama ia juga berbentuk hiburan dan pembelajaran sesuai untuk segenap lapisan masyarakat.

PENGERUSI Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan Negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis

“Mengikut perancangan, akan ada satu ferris wheel terbesar dalam Malaysia dan mungkin Asia Tenggara di kawasan itu, selain turut dilengkapi projek underwaterworld, kapal selam, dan peralatan tentera perang.

“Ia bukan sahaja menjadi kawasan hiburan tetapi juga untuk aktiviti pembelajaran yang mana akan ada dinding interaktif dan pelbagai lagi aktiviti menarik.

“InsyaAllah jika lulus pada hujung bulan ini kita akan ada semua itu. Bila disebut RM600 juta, maka ia bakal menjadi satu taman tema yang memang bernilai RM600 juta untuk menarik kehadiran pelancong,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Jailani berkata, selain taman tema, Melaka juga bakal memperkenalkan pakej kapal persiaran untuk membolehkan pengunjung bersiar-siar dan menjamu selera di tengah lautan.

Kapal tersebut juga, jelasnya, akan membawa pengunjung bersiar-siar di kesemua sembilan buah pulau yang ada di Melaka, selain turut menyediakan pelbagai aktiviti lain yang menarik.

Views:

1946
Kongsi :
Previous post Loji tenaga solar Hanwha Energy di Malaysia mulakan operasi
Next post Remaja tak mengaku rogol, amang seksual kenalan
Ubah saiz-+=