
TAMBAH BAIK KAEDAH BAYAR ZAKAT DALAM TALIAN GUNA TEKNOLOGI ‘AI’
BANDARAYA MELAKA 19 Mei – Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) mencadangkan agar kaedah bayaran zakat secara dalam talian dipertingkatkan dengan penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan (AI).
Cadangan itu disuarakan pada Simposium Zakat 2025 Kelestarian Tatakelola Pengurusan Zakat (SiPZ25) yang menghimpunkan para pengurus zakat dari seluruh negara bagi membincangkan isu berkaitan pengurusan zakat.
Ketua Pengarah JAWHAR Datuk Selamat Paigo berkata, ia sebagai usaha mendekatkan masyarakat dengan kewajipan berzakat dalam era digital.
“Teknologi maklumat dan komunikasi yang pesat berkembang telah membawa lonjakan besar dalam kutipan zakat negeri-negeri.
“Alhamdulillah, kalau dibandingkan dengan era awal penubuhan JAWHAR dahulu, banyak perubahan telah berlaku.
“Kini dengan penggunaan aplikasi digital dan sistem pembayaran dalam talian, kutipan zakat meningkat saban tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan simposium tersebut di sebuah hotel di sini, hari ini.
Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin; Mufti Kerajaan Negeri Melaka Datuk Wira Abdul Halim Tawil; Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Melaka Datuk Mohamad Azmi Sabtu dan Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Shaifulfazlee Mohamad.
Mengulas lanjut, beliau turut menyatakan bahawa salah satu cabaran dalam pembayaran zakat secara dalam talian adalah kekurangan interaksi secara fizikal.
“Ia sering dikaitkan dengan pengalaman rohani, seperti bacaan doa oleh amil selepas pembayaran dilakukan.
“Sebab itu, kita cadangkan supaya teknologi AI digunakan untuk memberi pengalaman yang serupa contohnya, selepas pembayaran dibuat secara dalam talian, satu sistem automatik boleh memainkan doa khas buat pembayar zakat.
“Ini mungkin kelihatan kecil, tetapi impaknya besar kerana ia menyentuh emosi dan keikhlasan pembayar zakat,” katanya.
Tambah beliau, beberapa negeri telah mula meneroka kaedah ini dan JAWHAR menyokong sepenuhnya inisiatif untuk memperluaskan penggunaan teknologi moden, termasuk AI dalam sistem zakat negara.
“JAWHAR akan terus memainkan peranan sebagai penyelaras utama dalam hal ehwal wakaf, zakat dan haji di peringkat persekutuan serta menyokong segala usaha penambahbaikan sistem zakat ke arah yang lebih moden dan efisien,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.