
TAMBAH BOT PERANTARA, LANCARKAN KEMASUKAN PELANCONG MELALUI KOMPLEKS ICQS
AYER LIMAU 19 April – Jumlah ‘middle boat’ atau bot perantara bagi membawa penumpang kapal persiaran berlabuh di perairan Selat Melaka ke lokasi menarik sekitar Banda Hilir dan negeri ini akan ditambah bagi meningkatkan lagi kecekapan perkhidmatan itu.
Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, perkara itu sedang diperhalusi bagi membantu meningkatkan lagi jumlah kemasukan pelancong ke Melaka menerusi jalan laut.
Katanya, setakat ini perkhidmatan itu bergantung kepada dua buah bot sahaja dan tidak mampu untuk membawa jumlah penumpang yang ramai iaitu sekitar 3,000 ke 4,000 orang pada satu-satu masa.
“Kita memikirkan alternatif atau kaedah untuk membawa penumpang dalam jumlah lebih ramai, menggunakan bot sedia ada kita perlu berulang-alik sebanyak enam kali dengan setiap trip memakan masa 30 minit.
“Jika enam trip sudah tiga jam, kita tidak mahu kekangan masa atau terpaksa menunggu lama membantutkan hasrat penumpang untuk melawat Melaka. Tambahan bot mungkin dapat membantu melancarkan lagi perkhidmatan ini,” katanya ketika ditemui pada Sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau di perkarangan kediaman beliau di Kampung Seri Jeram, di sini, semalam.

Selain dihiburkan dengan nyanyian lagu raya bagi menghidupkan ‘mood’ Aidilfitri, persembahan bunga api dan menjamu selera, kehadiran Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam bersama isteri Toh Puan Datuk Wira Dr. Asmah Abd Rahman turut menarik perhatian tetamu.
Turut menyerikan majlis adalah kehadiran Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh bersama isteri Datin Seri Utama Datuk Wira Zuriyah Ab Aziz.
Yang turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; ketua-ketua Jabatan dan agensi Kerajaan Negeri serta Persekutuan.
Hameed yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau berkata, setakat ini dua syarikat menunjukkan minat untuk menyediakan perkhidmatan bot perantara tambahan yang dicadangkan.
Menurutnya, penilaian melibatkan pelbagai aspek termasuk teknikal terhadap bot sedang dijalankan bagi memasikan pengangkutan air itu benar-benar sesuai dan selamat untuk digunakan.
“Kita tidak akan sewenang-wenangnya memberikan kebenaran, keselamatan penumpang menjadi keutamaan. sekarang dalam proses penilaian dan kita jangka perkara ini akan dimuktamadkan dalam tempoh enam bulan,” katanya.
Mengulas lanjut, Hameed berkata perkara lain yang diberikan perhatian adalah kelancaran urusan kapal berlabuh dan urusan kemasukan pelancong menerusi Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS).
“Bagi hal ini saya meminta semua jabatan dan agensi memberikan sokongan dalam kita menyambut ‘tetamu’ (pelancong) yang mahu melawat ke Negeri Melaka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.