
‘TANGAN AJAIB’ PASUKAN LANDSKAP MPJ SERLAH KECERIAAN JASIN
JASIN 8 April – Di sebalik keindahan landskap yang memukau sekitar Daerah Jasin, terselit sentuhan ‘tangan ajaib’ pasukan landskap Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) yang saban hari bekerja tanpa mengenal lelah demi mengindahkan persekitaran.
Bermula pintu masuk pekan kecil hingga ke laluan utama seperti Lebuh Alor Gajah – Melaka Tengah – Jasin (AMJ), setiap sudut dihiasi dengan susunan pokok, bunga dan elemen landskap yang bukan sahaja menarik perhatian, malah memberi keselesaan kepada pengguna jalan raya serta penduduk setempat.
Usaha berterusan ini turut mendapat pujian masyarakat, dengan landskap yang dihasilkan seperti pokok bunga kertas kini menjadi tumpuan ramai dan meraih lebih 19,000 tontonan awam di laman sosial Facebook MPJ.
Yang Dipertua MPJ Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari berkata, pihaknya sentiasa komited menaik taraf landskap di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah pentadbiran mereka.
Menurutnya, hasil usaha yang dilaksanakan sejak empat hingga lima tahun lalu kini mula menampakkan impak positif apabila kawasan tersebut semakin menjadi perhatian dan kebanggaan masyarakat setempat.
“Landskap di kawasan AMJ misalnya memerlukan tempoh satu hingga dua tahun untuk matang sepenuhnya kerana melibatkan pertumbuhan pokok yang memerlukan penjagaan rapi.
“Kita juga menerima pelbagai pertanyaan daripada orang ramai mengenai jenis pokok seperti bunga kertas, namun pemilihan itu diserahkan kepada kepakaran pasukan landskap yang lebih arif dalam menentukan kesesuaian,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Beliau berkata, MPJ turut mengambil langkah proaktif dengan melakukan cantasan dan penebangan pokok lama di kawasan tertentu, khususnya di laluan tengah AMJ bagi mengelakkan risiko pokok tumbang yang boleh membahayakan pengguna jalan raya.
“Melalui peruntukan dalaman, kita melaksanakan penggantian secara berfasa dengan landskap baharu yang lebih mudah diselenggara, bukan sahaja di AMJ tetapi juga di pekan-pekan kecil termasuk di pintu masuk kawasan,” katanya.
Tambah beliau, MPJ kini mempunyai lebih 20 pasukan landskap yang terdiri daripada tenaga mahir dan berpengalaman dalam bidang tersebut.
“Saya sendiri kagum dengan kepakaran mereka. Cara mereka mengendalikan pokok pun sudah cukup menunjukkan dedikasi dan minat yang mendalam dalam kerja ini,” katanya.
Anggota Jabatan Landskap dan Perkhidmatan Bandar (JLPB) MPJ terus komited menjalankan kerja tatarias dan mencantikkan kawasan sekitar, memastikan setiap ruang hijau kekal terpelihara dan memberi manfaat kepada masyarakat.
Keindahan landskap yang dihasilkan bukan sekadar hiasan, tetapi menjadi simbol keramahan bandar serta mencerminkan imej Melaka sebagai destinasi yang indah dan mesra untuk dinikmati semua.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


