
TAPEM JADI RUJUKAN SABAH PERKASA PENDIDIKAN
AYER KEROH 8 Ogos – Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) menjadi model rujukan oleh Sabah dalam usaha memperkasakan inisiatif pembiayaan pendidikan di negeri itu.
Pengurus Besar TAPEM, Abdul Aziz Baba berkata, beberapa inisiatif yang dijalankan TAPEM telah menarik Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) untuk turut sama melaksanakannya.
Beliau berkata, dalam lawatan rasmi TPNS yang diketuai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah merangkap Exco Hal Ehwal Agama, Datuk Arifin Arif ke TAPEM pada Khamis, delegasi telah tertarik dengan diberi penerangan mengenai program serta aktiviti yang disediakan bagi pembangunan pendidikan untuk anak-anak Melaka.
“Bukan sahaja mereka teruja malah ada beberapa perkara yang dilihat boleh dicontohi antaranya Majlis Apresiasi Pelajar Cemerlang SPM, STPM, STAM dan juga untuk pelajar universiti yang mendapat kelas pertama.
“Selain itu, mereka juga melihat inisiatif memberikan ‘one-off’ kepada pelajar cemerlang SPM oleh TAPEM yang telah berjaya meningkatkan pencapaian dalam keputusan peperiksaan itu selama tiga tahun berturut-turut juga akan dicontohi TPNS.
“Mereka melihat TAPEM sebagai ‘benchmark’ untuk memperkasakan TPNS sekali gus membantu pelajar di negeri di bawah bayu itu,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Terdahulu, lawatan rasmi 13 delegasi dari Sabah itu disambut Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman.
Menurut Abdul Aziz, kesudian TPNS mencontohi inisiatif yang dilaksanakan TAPEM merupakan satu penghargaan dan lonjakan semangat untuk pihaknya terus memperkasakan kemenjadian pelajar di Melaka.
“Sudah pasti ini merupakan penghargaan dan kita turut bangga kerana ada negeri lain seperti Sabah ingin mencontohi inisiatif yang dilaksanakan.
“Malah kita juga sedia untuk menjalinkan kerjasama dengan mana-mana pihak atau negeri bagi memperkukuhkan lagi peranan khususnya dalam menyediakan bantuan kewangan,” katanya.
Tambahnya lagi, lawatan tersebut juga secara tidak langsung membuka ruang kerjasama antara dua negeri dalam merangka dasar pendidikan yang lebih inklusif dan lestari.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.