Sorting by

×

TARIAN ZAPIN HIMPUN MASYARAKAT MAJMUK

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

KLEBANG 31 Disember – Kepelbagaian budaya terus diraikan apabila tiga pelajar berbangsa Cina dari Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Notre Dame Convent, turut bersama-sama menjayakan persembahan tarian zapin sempena Tahun Melawat Melaka 2.0 dan Sambutan Jubli Intan Rejimen Gerak Khas 2025.

Tarian Zapin Seribu yang menghimpunkan kira-kira 1,000 penari itu antara persembahan yang disediakan bagi memeriahkan lagi sambutan.

Jurulatih tarian Josephine Chong berkata, meskipun tarian tradisional itu sinonim dengan masyarakat Melayu namun itu bukan penghalang untuk dia memupuk minat pelajar Cina untuk sama-sama mempelajari seni berkenaan.

Katanya, tarian tradisional misalnya mampu menarik minat generasi muda untuk sama-sama memartabatkan warisan bangsa.

“Penglibatan pelajar berbangsa Cina dalam tarian zapin membuktikan seni budaya warisan mampu menarik
minat generasi muda tanpa mengira latar belakang kaum.

“Secara tidak langsung anak-anak ini dapat mengenali budaya bangsa lain dengan lebih mendalam, sekali gus mencerminkan keharmonian masyarakat majmuk,” katanya ketika ditemui di Encore Melaka, hari ini.

Menurut Josephine, berpeluang menyertai acara berskala besar anjuran Kerajaan Negeri merupakan peluang yang tidak selalu datang.

“Ini pertama kali kami turut serta dalam program Kerajaan Negeri dan pastinya pelajar amat teruja untuk bersama-sama membuat persembahan bersama peserta tarian yang lain.

“Pengalaman pertama kali ini tidak akan kami lupakan kerana bukan sahaja dapat membuat persembahan dihadapan khalayak ramai tetapi juga barisan kenamaan,” katanya.

Terdahulu, majlis penuh warna-warni itu diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam dan isteri Toh Puan Datuk Wira Asmah Abdul Rahman.

Turut memeriahkan majlis, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh bersama isteri Datin Seri Utama Datuk Wira Zuriyah Ab Aziz.

Yang turut hadir, Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; ketua-ketua jabatan serta lain-lain kenamaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

310
Kongsi :
Previous post ORKESTRA WARISAN SENI MELAKA DIPERKENALKAN
Next post TAHUN MELAWAT MELAKA 2.0 BANGUNKAN PELANCONGAN BERIMPAK TINGGI