Sorting by

×

TARIAN ZAPIN MERIAHKAN RUMAH TERBUKA DUN BEMBAN

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

BEMBAN 10 April – Bukan sekadar jamuan Aidilfitri malah Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban turut memartabatkan seni dengan mempersembahkan tarian zapin kepada 8,000 pengunjung yang hadir.

Penyelaras DUN Bemban Mohd Raziff Yakop berkata, tarian itu akan dipersembahkan pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tan Sri Haji Abdul Aziz Tapa dengan harapan zapin terus dikenali khususnya dalam kalangan generasi muda.

“Rumah terbuka ini menjadi tumpuan pelbagai kaum, jadi ini adalah masanya untuk kita mengetengahkan keunikan tarian tradisi ini kepada orang ramai.

“Juadah dihidangkan pula tidak terhad kepada rendang, sate dan dodol cair, kita turut menyediakan tose serta idli yang popular dalam kalangan masyarakat India,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Majlis berlangsung di Japerun Bemban, di sini, semalam dimeriahkan dengan kehadiran Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem dan Pegawai Daerah Jasin, Datuk Rahizi Ranom.

Mohd Raziff berkata, majlis itu juga berlangsung dalam suasana meriah dengan jumlah pengunjung yang hadir melebihi sasaran awal iaitu 5,000 orang sahaja.

“Dalam kemeriahan sambutan yang berlangsung ini ia secara tidak langsung dapat mengambarkan keharmonian dan perpaduan warga DUN Bemban,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

401
Kongsi :
Previous post SILK ROAD PASSION: HIMPUN 80 KARYA ARTIS MALAYSIA-CHINA
Next post PELUANG MILIKI RUMAH IDAMAN: MAPEX 2026 MELAKA TAWAR 3,118 UNIT HARTANAH SERENDAH RM70,000