
TARIK MINAT SI CILIK KUASAI TULISAN JAWI
MERLIMAU 14 Jun – Kolej Komuniti Jasin (KKJS) mengambil langkah proaktif dalam memperkasa tulisan jawi menerusi penganjuran Kursus Asas Jawi, baru-baru ini.
Kursus yang diaadakan di Perpustakaan Desa Kampung Seri Minyak, Merlimau itu melibatkan seramai 21 murid sekolah rendah dan dua orang tenaga pengajar dari KKJS iaitu Ustaz Fazrin Hamdan dan Ustaz Muhammad Arasz Salleh.
Pengarah KKJS Sr. Mohamad Kelana Juwit berkata, program tersebut diadakan bertujuan memberi pendedahan dan pendidikan awal kepada kanak-kanak mengenai pengenalan asas tulisan jawi.
“Kita melihat bahawa penguasaan tulisan jawi dalam kalangan kanak-kanak kurang memberangsangkan dan mengambil inisiatif dengan mengadakan Kursus Asas Jawi bagi memupuk minat mereka dengan lebih mendalam lagi.
’
“Sepanjang program ini, peserta diberi pendedahan asas mengenai pengenalan huruf jawi, cara penulisan dan pembacaan perkataan Jawi mudah berserta dengan aktiviti interaktif yang menyeronokkan,” katanya.

Menurutnya lagi, walaupun penggunaan tulisan jawi telah lama wujud, namun penguasaan dan minat masyarakat terhadapnya semakin berkurangan.
“Sudah semestinya wujudnya cabaran di mana tulisan Jawi semakin dilupakan dan kurang diminati dalam kalangan masyarakat masa kini. Malah, penguasaan tulisan Jawi juga dilihat semakin berkurangan.
“Tulisan jawi adalah merupakan satu khazanah yang perlu dipelihara untuk generasi akan datang agar tidak lenyap begitu sahaja.
“Pemeliharaan tulisan jawi menerusi cetusan idea untuk menarik minat generasi muda perlu diperluas, bukan sahaja melalui organisasi atau agensi tertentu, malah ia sangat memerlukan rangsangan positif daripada penglibatan ibu bapa ke arah usaha membentuk bangsa celik jawi,” tambahnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.