
TAWAR AKREDITASI, PERKASA EKOSISTEM TVET
BANDARAYA MELAKA 11 Jun – Malaysia sedia menjadi negara pertama di ASEAN yang menawarkan akreditasi berkaitan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam usaha untuk terus memperkasakan bidang itu.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu turut mendapat maklum balas positif daripada menteri-menteri dan pegawai-pegawai kanan negara ASEAN.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata, usaha itu telah dipersetujui dan pihaknya sedang menyelaras koordinasi akreditasi industri TVET terbabit supaya ia boleh digunapakai oleh seluruh negara ASEAN.
“Malaysia akan menjadi negara pertama yang menawarkan akreditasi bidang TVET ini dan boleh diterima pakai oleh seluruh negara ASEAN.
“Kita telah mengadakan mesyuarat bersama menteri kanan seluruh negara ASEAN untuk menyelaraskan pengakreditasian industri TVET yang kini permintaannya semakin meningkat,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Dialog Dasar Serantau Majlis TVET ASEAN ke-4 di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh, barisan Exco, Timbalan Exco, serta kenamaan lain.
Dialog bertemakan ‘TVET untuk Kemajuan Luar Bandar dan Serantau’ itu menekankan tiga pemangkin asas iaitu pendidikan dan latihan berkesan; memenuhi keperluan industri terhadap tenaga kerja mahir serta meningkatkan taraf sosioekonomi.
Penyertaan dialog itu melibatkan 29 ahli panel dari Negara Anggota ASEAN; Australia dan UNESCO yang dilaksana secara hybrid membabitkan 300 peserta secara fizikal dan dalam talian.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.