
TEBUS BAUCAR E-WALLET, BERBELANJA DI BAZAR RAMADAN RAHMAH
KESIDANG 5 Mac – Pengunjung Bazar Ramadan Rahmah di empat lokasi di negeri ini mula menebus baucar E-Wallet bernilai RM20 setiap seorang bermula semalam.
Exco Pembangunan Usahawan Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Soh Chin berkata, orang ramai boleh menebus baucar di kaunter khas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di bazar Ramadan sehingga Jumaat.
“Bermula semalam pengunjung di semua empat lokasi Bazar Ramadan Rahmah iaitu di Bazar Ramadan Rahmah Taman Melaka Baru, Kesidang; Bazar Ramadan Rahmah Taman Bukit Tambun Perdana 2, Durian Tunggal; Bazar Ramadan Rahmah Jasin Bestari dan Bazar Ramadan Rahmah Bandar Satelit Pulau Sebang mula menebus baucar E-Wallet.
“Untuk Bazar Ramadan Rahmah Taman Melaka Baru kita anggaran sebanyak 800 baucar E-Wallet berjaya dituntut oleh pengunjung dan proses tuntutan berjalan dengan lancar.
“Untuk itu kita jangkaan bilangan baucar yang akan dituntut itu meningkat namun ia juga bergantung kepada lokasi Bazar Ramadan Rahmah itu sendiri sama ada mempunyai jumlah pengunjung yang ramai atau sebaliknya,” katanya.
Allex yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kesidang berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan lesen niaga kepada peniaga dan meninjau kaunter tuntutan E-Wallet di Bazar Ramadan Rahmah Taman Melaka Baru, semalam.
Menurutnya, inisiatif yang diteruskan KPDN pada tahun ini secara tidak langsung dapat membantu meringankan beban perbelanjaan pada bulan Ramadan.
“Selain bertujuan menggalakkan penggunaan transaksi tanpa tunai dalam kalangan pengguna ia sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan umat Islam khususnya berbelanja juadah berbuka puasa.
“Ia juga membantu peniaga khususnya menjana pendapatan secara tidak langsung,” katanya.
Allex berkata, penduduk setempat atau berdekatan dengan lokasi Bazar Ramadan Rahmah untuk merebut peluang menebus baucar E-Wallet sebelum berakhir pada Jumaat.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

