
TEKAD SHERWIN PADA PARA SUKMA 2026
AYER KEROH 16 Februari – Atlet powerlifting Melaka, Sherwin Kumar, 17, nekad memperbaiki pencapaian peribadi pada Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) 2026 yang akan berlangsung di Selangor pada September, depan.
Menurut pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Keroh itu, pada kejohanan Para SUKMA lalu dia mengakhiri pertandingan pada kedudukan keempat bagi kategori 49 kilogram.
“Dengan pengalaman pertandingan dan tunjuk ajar daripada jurulatih saya akan cuba memperbaiki pencapaian selain untuk Para SUKMA Selangor nanti saya akan cuba untuk pingat gangsa sekurang-kurangnya.
“Sekarang ini saya sedang giat menjalani latihan bersama jurulatih sebagai persediaan untuk kejohanan,” katanya.
Dia berkata demikian ketika ditemui selepas Program Santai Bersama OKU Melaka 2.0 Dan Pelancaran Persatuan OKU, di Kompleks Melaka Mall, pada Sabtu.
Terdahulu program disempurnakan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin dan hadir sama Setiausaha Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Mohd Faizal Mohd Zin.
Menurut Sherwin, penglibatannya di dalam sukan itu bermula pada 2022 dengan tunjuk ajar daripada gurunya selain minat yang mendalam.
“Menerusi penglibatan dalam sukan khususnya kami secara tidak langsung dapat membuktikan kemampuan serta potensi diri.
“Apa yang penting adalah usaha, sekiranya kita berusaha dan bersungguh-sungguh pastinya kita dapat lakukan dengan baik,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


