
TEKNOLOGI WTE ATASI CABARAN KAPASITI TAPAK PELUPUSAN
Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat
SUNGAI UDANG 2 April – Kemudahan berteknologi tinggi pengurusan sisa pepejal Loji Waste-to-Energy (WtE) Sungai Udang berupaya membantu mengurangkan cabaran kapasiti di tapak pelupusan sedia ada.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata, penggunaan teknologi WtE berupaya mengurangkan sehingga 85 peratus sisa pepejal yang dihantar ke tapak pelupusan, manakala baki 15 peratus lagi dapat dimanfaatkan semula melalui pendekatan ekonomi kitaran.
“Projek ini adalah susulan kejayaan loji WtE yang pertama di Ladang Tanah Merah, Negeri Sembilan. Ia telah melalui proses tender terbuka, bagi menjamin pematuhan sepenuhnya terhadap piawaian alam sekitar dan keperluan teknikal yang ditetapkan.
“Kemudahan ini melibatkan pelaburan keseluruhan mencecah RM660 juta, dijangka mula beroperasi sepenuhnya pada 2029 dengan tempoh konsesi yang ditetapkan adalah selama 34 tahun, termasuk fasa pembinaan selama tiga tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Loji WtE Sungai Udang di tapak WtE Sungai Udang, di sini, hari ini.
Hadir sama Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin, barisan Exco dan Timbalan Exco.
Yang turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Wira Dr. M Noor Azman Taib; Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara Dato’ Ir. Ts. Gs. Dr. Mohd Azhar Abd Hamid; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakoff Corporation Berhad Syahrunizam Samsudin, Ketua-ketua Jabatan Negeri Melaka serta Persekutuan.
Katanya, selain berupaya merawat sehingga 1,000 tan sisa pepejal setiap hari loji berteknologi tinggi itu juga mengurangkan lebih 259,000 tan pelepasan karbon dioksida setiap tahun atau bersamaan dengan pelepasan karbon dioksida bagi 56,000 kenderaan di jalan raya setiap tahun.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.
Views:
261


