
TEMA MELAKA SAYANG RAKYAT TERCAPAI
AYER KEROH 29 Mac – Penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri Peringkat Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) menyentuh hati pengunjung, sekali gus membuktikan tema ‘Melaka Sayang Rakyat’ bukan sekadar slogan.
Pengunjung, Muhammad Nashriq Izmer Mohd Faizal, 36, berkata, kemeriahan dan keharmonian diterap melalui majlis tersebut membuktikan ia nyata berjaya menyatupadukan rakyat.
Justeru, katanya, penganjuran rumah terbuka seperti itu wajar diteruskan kerana ia mampu menjadi medium terbaik menyatukan rakyat pelbagai kaum.
“Saya setuju dengan tema ‘Melaka Sayang Rakyat’ kerana inilah satu platform yang dapat satukan rakyat tanpa mengira bangsa.
“Kita semua datang, berkumpul dan bergembira di bawah satu platform yang sama dan yang paling penting, makanan itu sendiri menjadi penyatuan kita sebagai rakyat,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Dia bersama lima ahli keluarga tiba dari Batu Berendam sekitar jam 11 pagi memuji kesungguhan Melaka menganjurkan majlis itu walaupun secara sederhana, namun ia tetap berlangsung dalam suasana penuh mesra dan meriah.
“Saya dapat tahu mengenai penganjuran rumah terbuka ini daripada saluran Telegram Kerajaan Negeri sebelum berkongsi dengan isterinya untuk hadir bersama.
“Tak menyesal datang sebab memang sangat ‘awesome’. Ini kali pertama saya dan keluarga datang dan tak sangka sambutan sangat meriah,” katanya
Tambah Muhammad Nashriq, kepelbagaian juadah yang disediakan menjadi tarikan utama pada majlis itu termasuk rendang ayam, selain kuih-muih tradisional dan putu mayam yang jarang ditemui.
Katanya, selain pelbagai jenis makanan, kehadiran artis popular seperti kumpulan Senario serta penyanyi terkenal, Dayang Nurfaizah turut menambah kemeriahan majlis tersebut.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


